DISEBABKAN sikap tamak, pergaduhan atau perebutan harta pusaka sering berlaku dalam kalangan keluarga kerana masing-masing berpendapat akan mendapat durian runtuh.
Tentu sahaja pelbagai helah akan digunakan agar impian yang diharapkan tercapai. Meskipun melibatkan darah daging sendiri, perkara itu bagaikan sudah tidak bermakna lagi.
Perbalahan yang berlaku sampai ada yang sanggup bermasam muka, memutuskan hubungan persaudaraan disebabkan rasa marah atau tidak berpuas hati dengan proses pembahagian harta dilakukan.
Melihat kepada situasi itu, berikut Majoriti senaraikan lima filem tempatan yang menjadikan elemen tersebut sebagai elemen utama.
Filem: MX3
Tahun: 2003
Filem komedi aksi ini tiga sahabat yang membuka sebuah agensi penyiasat persendirian, berusaha untuk merungkai misteri tentang kematian suami Marissa.
Pelbagai insiden berlaku sepanjang usaha mereka untuk membuktikan kesahihan kematian suami Marissa.
Ketiga-tiga mereka bekerjasama dengan dilantik oleh syarikat insurans kerana meragui dengan tuntutan Marissa selaku penama bagi insurans suaminya.
Filem ini membariskan pelakon Saiful Apek, Faizal Hussein, Zul Yahya, Che Puan Sarimah Ibrahim, Juliana Banos, Sheila Rusly dan Syanie.
Diarahkan oleh Yusof Kelana manakala terbitan Skop Productions dan ME Communications.
Filem: Mr Os
Tahun: 1987
Os yang bekerja sebagai seorang penjual durian, menerima harta hasil peninggalan datuknya sebanyak RM500,000.
Menurut wasiat tersebut, Os perlu menghabikan kesemua wang terbabit dalam tempoh masa 21 hari tanpa membeli sebarang aset simpanan untuk diri sendiri.
Sekiranya gagal, harta warisan itu akan diberikan kepada dua orang rakan kongsi perniagaan datuknya.
Meskipun Os sudah berbelanja ‘besar’, namun dia masih mempunyai baki sebanyak RM20,000.
Filem ini diarahkan oleh A.R.Badul dan dibintangi oleh Allahyarham Os, Datuk Ziela Jalil, Salih Yaacob, A.R.Badul, Rima Rashidi dan Faridah Fasha.
Filem: 3 Abdul
Tahun: 1964
Siapa yang tidak kenal dengan filem arahan pengarah tersohor, Allahyarham Seniman Tan Sri P.Ramlee.
Filem 3 Abdul mengisahkan perebutan harta warisan Ismet Ulam Raja antara tiga orang adik beradik iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahob.
Disebabkan tamak, abang sulung dan anak kedua berusaha membolot kesemua harta peninggalan.
Sementara adik bongsu hanya mewarisi sebuah kediaman. Disebabkan tidak rasa puas hati dengan pembahagian harta itu, Abdul Wahob memilih untuk menjauhkan diri dan meninggalkan ahli keluarga lain.
Filem ini dilakonkan oleh Allahyarham sendiri bersama Allahyarham Haji Mahadi, Allahyarham S.Kadarisman, Allahyarham Mariani, Datuk Sarimah Ahmad dan Dayang Sofia.
Filem: Pontianak Menjerit
Tahun: 2005
Kisahnya bermula apabila Datuk Pangeran Abdul Rahman meninggal dunia dan mewariskan harta peninggalan sebanyak RM30 juta.
Oleh itu arwah berhasrat untuk membahagikan harta tersebut kepada warisnya iaitu Azlee, Maslan, Saiful dan isteri mudanya, Ratana Putri.
Pergaduhan berlaku apabila Azlee tidak berpuas hati dengan kehadiran adiknya, Saiful kerana anak daripada ibu tirinya.
Kehadiran Ratana Putri iaitu seorang wanita Siam turut mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka kerana perlu tinggal sebumbung dalam tempoh masa 33 hari.
Sepanjang waktu itu, keseuma mereka Azlee dan Maslan bersama isteri mereka, Saiful dan seorang rakannya perlu tinggal di sebuah rumah banglo.
Dalam pada mereka mengalami krisis perebutan harta, pelbagai peristiwa seram berlaku sehingga menyebabkan mereka berhasrat untuk meninggalkan rumah tersebut.
Filem ini diarahkan oleh Yusof Kelana terbitan Skop Productions dan ME Communications. Barisan pelakon antaranya, Ziana Zain, Juliana Bonus, Azlee Jaafar, Lan Pet Pet, Zed Zaidi, Sheila Rusly, Zarina Zainoordin dan Adam Corrie Lee.
Filem: Baginda
Tahun: 1997
Seorang guru kolej ternama, Cikgu Azian berasa teruja apabila menerima diamanahkan untuk menguruskan sebuah sekolah swasta di Johor Bahru, Johor.
Awalnya dia berasa hampir berputus asa kerana kegagalan pengurusan pihak sekolah termasuk kenakalan pelajar.
Filem genre romantik komedi turut memaparkan aksi permainan sukan bola tampar.
Diarahkan oleh Aziz M.Osman, barisan pelakon Allahyarham Azean Irdawaty, Jalil Hamid, Jalaluddin Hassan, Allahyarham Benjy, Dilla Ahmad, Datuk Cef Wan dan Louisa Chong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram