SETIAP daripada kita tentu sahaja memiliki hobi atau aktiviti kegemaran yang sering dilakukan pada waktu lapang. Selain memberi kepuasan, hobi ini juga dapat menghilangkan tekanan emosi.
Pelbagai pilihan aktiviti boleh dilakukan mengikut kesesuaian sendiri. Namun, terdapat beberapa aktiviti yang menjadi kegemaran Rasulullah SAW.
Menurut penghafal hadis selepas Abu Hurairah, Ibn Umar RA menyatakan Nabi Muhammad SAW bersabda: "Ajarlah anak kamu berenang dan memanah." (al-Jami’ al-Saghir 5477)
Tidak kurang daripada itu, terdapat juga pengamal hadis yang mengatakan selain memanah dan berenang, menunggang kuda juga sesuatu yang digalakkan.
Memanah
Daripada sahabat Rasulullah, Salamah bin al-Akwa RA berkata: Nabi SAW berjalan di hadapan sekumpulan daripada suku Aslam yang sedang berlumba (dalam menunjukkan kemahiran memanah). Maka Nabi SAW bersabda, panahlah wahai bani Ismail, kerana sesungguhnya nenek moyang kamu adalah ahli dalam memanah maka panahlah”. [Riwayat al-Bukhari (2899) (3373) (3507)]
Tidak hanya itu, malah Rasulullah turut pernah bersabda ketika di atas mimbar: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah)”. [Riwayat Muslim (1917)]
Melihat kepada dua hadis tersebut, jelas menunjukkan Nabi Muhammad menyarankan agar umatnya mempelajari ilmu memanah.
Berenang
Selain memanah, aktiviti berenang juga sebahagian daripada yang disarankan oleh Rasulullah.
Daripada Jabir bin Umair yang juga merupakan sahabat Rasulullah, mengakui pernah mendengar Rasulullah bersabda: “Setiap perkara yang tidak disebut nama ALLAH SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat benda: Perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang”. [Lihat: Mu’jam al-Awsath (8147)]
Menunggang kuda
Ulama Islam terkenal, Urwah Zubair mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Kuda yang tersimpul pada ubun-ubunnya segala kebaikan sehingga hari kiamat”. (Riwayat al-Bukhari (2850)
Secara ringkasnya, pilihlah aktiviti yang mendatangkan manfaat bukan sahaja pada diri sendiri, tetapi baik untuk masyarakat.
Tidak hanya itu, memiliki tubuh badan yang sihat juga merupakan satu tuntutan dalam agama.
Semoga kita semua memperoleh manfaat daripada aktiviti yang dilakukan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram