Walau sekadar hobi, jejaka Pahang berjaya pikat hati warga Perancis


  • Hobi
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Rafiq Farhan optimis aktiviti kegemaran yang dahulu menjadi hobi kini sudah mampu dijadikan sebagai kerjaya.

SETIAP daripada kita mempunyai aktiviti kegemaran tersendiri yang memberi kepuasan dan keseronokan tersendiri ketika melakukanya pada waktu lapang.

Begitu juga dengan Rafiq Farhan Noordin, 26, yang turut mempunyai hobi dan keinginan untuk menghiburkan hatinya dengan mengisi masa lapang.

Tertarik dengan nuansa panorama, jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu kemudian melakukan aktiviti memotret sebagai hobi.

Selama lima tahun bergelumang dengan seni fotografi, Rafiq Farhan kemudian pilih untuk menjadikannya sebagai kerjaya sehingga dia kini bergelar sebagai jurugambar bebas.

310795561_2333121176838178_782468754981900808_n

Usahanya itu nyata tidak sia-sia apabila dia berjaya menarik perhatian majalah antarabangsa berpangkalan di Perancis, Beware!.

Peluang itu nyata tidak dilepaskan dan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan gambar menarik.

“Banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan semasa mula-mula menceburi bidang fotografi. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila hasil karya saya dapat mencuri hati orang luar.

“Sejujurnya saya berasa sangat bertuah kerana sebagai orang yang baru berkecimpung dalam industri ini, sudah mendapat peluang sebegitu. Tentu sahaja detik itu menjadi satu momen berharga dan tidak dapat dilupakan,” ujarnya kepada Majoriti ketika mengulas mengenai majalah digital yang menerbitkan kandungannya pada 2021.

309633509_656795962541546_2061609628501695136_n

Pembakar semangat

Menganggap perkara itu sebagai sebagai salah satu cara untuk memotivasikan diri, Rafiq Farhan mengembangkan potensi diri dengan menceburi bidang fotografi secara serius.

“Penerbitan gambar-gambar itu memberi impak begitu tinggi kepada saya semakin optimis untuk menjadi lebih kreatif dan kritis,” ujar pemilik akaun Instagram, rafiqsfarhan.

Selesai bercerita tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakan itu, Rafiq Farhan berkongsi tentang cabaran bekerja sebagai jurugambar bebas. Bagi pengurusan perniagaan dan pembahagian masa antara kerjaya dengan kehidupan peribadi merupakan cabaran sukar buatnya.

313308462_145529838215787_3053760621666201991_n

“Jika saya diberi peluang untuk diundurkan masa, saya tentunya ingin mempelajari lebih banyak lagi tentang teknik fotografi semasa mula-mula menceburi bidang ini.

“Namun, saya bersyukur apabila dikurniakan rakan-rakan yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar terutama ketika mula bergelar jurugambar bebas.

“Ilmu yang ‘diturunkan’ itu membuatkan saya mahir dan menguasai aspek fotografi dengan lebih baik dari semasa ke semasa,” tuturnya.

Sokongan rakan-rakan turut menjadikan dirinya tidak mudah mengalah sehingga membuatkan dirinya sentiasa ‘dahagakan’ ilmu bagi memperkemaskan diri.

313035706_135193032383369_591440861210537121_n

“Setiap perkara yang kita lakukan tentu sahaja akan ada cabaran tersendiri. Paling penting jangan mudah putus semangat. Segalanya memerlukan latihan, kesungguhan dan komitmen serta kesabaran untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.

Cita rasa fotografi

Dalam pada itu, Rafiq Farhan turut kongsikan jenis kamera yang digunakan ketika mengambil gambar.

Katanya, dia lebih kerap menggunakan jenis Canon EOS R untuk digital manakala Canon AE1 untuk mengambil gambar analog.

“Lensa yang menjadi kegemaran saya ialah 35 mm. Bagi saya ini amat sempurna, kerana tidak terlalu wide dan tidak terlalu closed up. Kebanyakan gambar-gambar kegemaran yang saya tangkap semuanya diambil dengan menggunakan lensa 35mm,” kongsinya.

ezgif-4-dd0ebb13ce

Bercakap tentang bidang fotografi digital dan analog, Rafiq Farhan mengatakan tiada masalah dengan fotografi antara kedua-dua perkara itu.

“Fotografi analog yang menjadi trend pada masa kini. Sifat gambar analog yang rendah kualiti berbanding digital menunjukkan semakin ramai yang sedar bahawa kamera dan alatan bukanlah segala-galanya.

“Jiwa dan nilai peribadi dalam sesebuah gambar lebih menarik untuk diberi perhatian berbanding jenis penggunaan kamera sama ada digital atau analog,” ujarnya.

Dengan itu Rafiq Farhan jelas memperlihatkan dirinya seorang yang sukakan nilai sentimental dan emosi gambar berbanding obses dengan cita rasa semasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram