KECIL-KECIL cili padi. Begitulah yang boleh digambarkan tentang tahap kebijaksanaan kanak-kanak tempatan.
Menjulang nama hingga ke peringkat antarabangsa, mereka berjaya mempamerkan kebolehan dan kemampuan masing-masing.
Tahap kepintaran mereka mendapat pengiktirafan luar negara sekali gus membanggakan keluarga termasuk rakyat Malaysia.
Justeru Majoriti senaraikan beberapa kanak-kanak yang pernah berjaya mencipta nama dan mengharumkan negara.
Maryam Muzamir
Pada 2022, Maryam muzamir berjaya memenangi dua pingat emas dalam 22nd Annual British Invention Show 2022. Penyertaannya dalam pertandingan tersebut mendpat tajaan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah agensi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pelajar Sekolah Kebangsaan Perempuan (P) Methodist Kuantan, Pahang membanggakan negara dengan memenangi anugerah Double Gold Award dan Chairmans Special Recognition Award - Young Ambassador of Innovation dalam pertandingan reka cipta, inovasi dan teknologi berprestij dan paling lama di United Kingdom.
Dalam pertandingan tersebut Maryam menyediakan produk hasil inovasi makanan haiwan yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut.
Kejayaannya itu turut disebut dalam sebuah program hiburan popular antarabangsa, The Late Late Night Show With James Corden.
Haryz Nadzim
Pada umur dua tahun, Muhammad Haryz Nadzim berkebolehan untuk membaca sendiri buku cerita. Bahkan Haryz juga menyebut beberapa perkataan pada usia tujuh bulan.
Kemampuannya itu membuatkan kanak-kanak yang berusia empat tahun pada 2020 menjadi individu paling muda dan tersenai dalam persatuan IQ (darjah kecerdasan) tinggi global, Mensa (anggota termuda yang pernah diterima masuk sebelum berusia dua tahun).
Pada 2020, ibu bapa Haryz menetap di Durham, United Kingdom dan memiliki latar belakang kejuruteraan. Awalnya kedua orang tua Haryz tidak mengetahui kemampuan anak mereka sehingga dimaklumkan oleh pihak tadika.
Pada tahun sama, Haryz dijemput untuk menyertai Mensa British selepas mencapai skor IQ luar biasa iaitu 142 dalam ujian Standford Binet.
Anjanaa Rhea Ganeson
Pada 2022, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Seri Selangor, Subang Jaya, Selangor mencatat kejayaan apabila mencatat dua rekod iaitu Rekod Dunia Kanak-Kanak (KWR) Kanada dan Buku Rekod Dunia Jackhi (JBWR) India menerusi catatan masa terpantas untuk tahap pengetahuan am.
Dia berjaya mengenalpasti 230 bendera negara dalam tempoh empat minit 38 saat. Anjanaa berjaya menonjolkan bakat kanak-kanak di bawah kategori perempuan (tujuh hingga sembilan tahun) menerusi KWR yang berpangkalan di Kanada.
Anjanaa mula tertarik untuk menghafal nama dan bentuk bendera apabila ibu bapanya kerap mengembara ke beberapa buah negara. Dia turut memiliki kebolehan menghafal 195 bendera negara dan ibu negara sejak berumur enam tahun.
Ibu bapanya turut membelikan beberapa alat bantuan seperi bendera mini dan buku bagi membantunya menghafal warna, logo dan perbezaan bendera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram