HOBI mengembara sering dikaitkan dengan persekitaran alam semula jadi seperti kawasan pergunungan, hutan dan pendalaman desa. Namun, aktiviti itu juga boleh dilakukan di sekitar bandar raya.
Deretan kedai atau kafe menarik mampu menjadi lokasi untuk beristirehat dan mencari ruang untuk berimaginasi bagi mencari inspirasi.
Begitulah yang dilakukan oleh seorang pelajar asal Snyder, Texas, Amerika Syarikat, Mary Kerr dalam usaha mengejar cita-cita sebagai pengubah muzik.
Kata Kerr, minatnya bermain piano yang dahulu sekadar hobi membuatkan dirinya jatuh cinta kepada kerjaya dalam dunia muzik.
Kerr mula mempelajari alat muzik piano sejak berusia lima tahun.
Malah dia mula bergerak aktif dengan kumpulan pemuzik jazz pada usia 10 tahun manakala bermain piona bermula usia lima tahun.
“Ilham itu datang daripada pelbagai cabang. Saya tidak menafikan hobi menggemari perkara seni dan meneroka bandar banyak memberi inspirasi dan idea terhadap muzik.
“Orang melihat jelajah itu lebih kepada sihat alam semula jadi, tetapi pada saya di mana-mana saya boleh memberikan kita pengalaman meneroka. Saya dan keluarga juga gemar mengembara ke luar negara serta mempelajari gaya hidup rakyat setempat,” terangnya optimis.
Mengulas mengenai minatnya terhadap pengembara di luar negara, Kerr menyifatkan perkara itu perlu dilakukan bagi memberi peluang kepada diri sendiri dalam mempelajari perkara baharu.
Aktiviti kembara ke luar negara antara salah satu hobi yang gemar dilakukan oleh Kerr.
Selain kembara di kota, menjelajah ke negara asing turut boleh dijadikan sebagai hobi sementelah ia dapat memberikan kepuasan dan kegembiraan.
Terang Kerr, perkara yang boleh membuatkan seseorang gembira ketika melakukannya pada waktu lapang sudah pastinya tergolongan dalam kumpulan hobi.
“Kami pernah mengembara dan melihat persekitaran pergunungan Tikitere atau lebih dikenali sebagai Hell’s Gate di New Zealand. Saya juga gemar melewat bangunan dan persekitaran kota London (Britain) yang tentu sahaja memberikan saya dimensi baharu untuk berfikir.
“Hobi mengembara ini bukan sahaja dapat dilakukan di luar negara, tetapi turut boleh dilakukan dengan cara melawati di bandar-bandar yang belum pernah dilawati sebelum ini. Biarpun hanya dalam negara sendiri, itu juga sudah memadai,” ujarnya.
Tidak kurang daripada itu, Kerr yang begitu mudah tertarik dengan pengaruh media dan persekitaran membuatkan dia memilih untuk mempelajari teknik kawalan pesawat.
Filem Top Gun: Maverick telah membuatkan Kerr berminat untuk mendalami ilmu juruterbang.
Hanya dengan satu tontonan filem Top Gun: Maverick, Kerr lantas berminat untuk mengikuti kelas penerbangan di Raider Aviation, Texas untuk mendapatkan lesen juruterbang persendirian.
Kerr turut menasihatkan agar golongan belia khususnya memiliki hobi yang boleh dijadikan sebagai pendorong atau pembakar semangat kepada sesuatu perkara.
Cara sebegini tentu sahaja membuatkan seseorang itu lebih fokus dan bersungguh-sungguh untuk melakukannya tanpa mengenal erti putus asa.
“Dapatkan sokongan daripada individu di sekeliling dan pilihlah aktiviti santai yang mendatangkan faedah. Jangan sia-siakan masa yang ada,” nasihat Kerr yang juga pelajar Universiti Texas Tech. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram