SEKITAR 1990-an, bermain permainan video sering dianggap sebagai aktiviti tidak berfaedah atau membuang masa. Perbuatan ini turut dikatakan menjadi punca pelajar sekolah kurang memberi perhatian kepada pelajaran.
Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan teknologi dunia, transisi pandangan terhadap permainan video game mula berubah. Kini permainan video atau lebih dikenali sebagai e-sukan semakin mendapat perhatian ramai.
Bahkan, Malaysia turut melahirkan beberapa atlet e-sukan antaranya Ramona Azween, Luqman Haziq dan Yap Jian Wei. E-sukan turut tersenarai dalam acara sukan di festival Sukan Sea 2019 di Filipina.
Melihat kepada kejayaan itu, pempengaruh digital, Luqman Podolski, 24, turut meluahkan rasa bangga apabila masyarakat mula menaruhkan pandangan positif terhadap bidang tersebut.
Selain mempunyai kemahiran dan kelebihan dalam bidang akademik mahupun sukan fizikal, jelasnya, permainan video juga mampu memberi jaminan masa depan.
“Tidak semua orang bagus dalam akademik, tetapi kemungkinan seseorang itu mampu melakukan lebih baik dalam bidang lain. Acara sebegini selalunya menawarkan hadiah wang tunai dan pastinya dapat menaikkan semangat peserta.
“Penerimaan masyarakat juga membuktikan ibu bapa sudah yakin dan melihat permainan video ini bukan lagi satu hal sia-sia. Jika dilakukan ke jalan yang baik, hasilnya juga pasti baik-baik juga,” katanya kepada Majoriti.
Sekadar suka-suka
Melanjutkan cerita, penyanyi lagu Bahaya dan Ring Ring itu mengakui sudah sekian lama meminat minatnya aktiviti permainan video. Dia juga melakukan penstriman bermain permainan video di YouTube sejak dua tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai permainan video seperti GTA San Andreas, A Way Out, Little Nightmare 2 dan Wire Lips sudah dimainkan olehnya.
“Saya lebih cenderung untuk bermain permainan yang memiliki penceritaan, namun saya tidak terlalu tertarik dengan permainan video bola sepak seperti FIFA.
“Dianggarkan sekitar dua atau tiga jam sehari akan diperuntukkan untuk bermain permainan video, tetapi itu bergantung kepada kesesuaian waktu.
“Disebabkan dua tahun saya sudah bermain permainan video, jadi saya berasa sedikit bosan melainkan bermain hanya untuk mengisi masa lapang,” luahnya.
Kreativiti
Mengulas mengenai aktiviti penstriman, Luqman mengakui perkara itu bukan mudah dilakukan meskipun dirinya penggemar permainan video.
Ini kerana dia perlu kreatif dan mengikuti selera peminat yang ingin menonton video permainannnya. Disebabkan itu, Luqman sentiasa perlu tampil kreatif bagi memastikan kandungan yang tidak bosan.
“Agak penat juga kerana saya perlu membuat keputusan bijak untuk menentukan pilihan permainan mengikut cita rasa penonton. Kreativiti itu bukan sahaja melibatkan pemilihan permainan, tetapi itu turut cara permainan yang menarik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Luqman turut berpendapat individu yang mahir bermain permainan video memiliki pemikiran yang kreatif kerana sebahagian daripada permainan memerlukan ketajaman minda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram