Mufti tegur umat Islam percaya Santa Claus, hias pokok Krismas


  • Mukmin
  • Ahad, 25 Dis 2022

Masyarakat beragama Islam diharuskan untuk memberi ucapan sambutan perayaan kepada agama lain, asalkan tidak bertentangan dengan agama dan akidah.

DALAM setahun pelbagai sambutan perayaan diraikan oleh masyarakat tempatan antaranya Hari Raya Aidilfitiri, Tahun Baru Cina, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas.

Setiap daripadanya mempunyai makna tersendiri buat pengikut agama masing-masing. Hal itu melibatkan kepercayaan serta amalan melibatkan agama.

Begitu juga dengan sambutan perayaan Hari Natal yang diraikan pada hari ini bersamaan dengan 25 Disember Gregorian.

Sebagai masyarakat yang hidup dalam kelompok berbilang kaum, kita pastinya tidak dapat lari daripada turut ‘tumpang sekaki’ merayakan sambutan perayaan tersebut.

Namun, menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam, sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

majoriti2022 (13)

“Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

“Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus.

“Namun, tetap mempunyai syarat bahawa ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut,” katanya kepada Majoriti.

Melihat kepada beberapa kali muzakarah (perbincangan) yang dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005, mengatakan majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

“Bertentangan dengan akidah Islam ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau Keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

santa-claus-touching-christmas-tree

“Sebagai contoh, menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok Krismas dan menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

“Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh, memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam mahupun tunduk seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam merupakan perbuatan bertentangan dengan syarak,” jelasnya.

Mohd Yusof turut menegaskan perbuatan meletakkan pokok Krismas dengan himpunan hadiah dan mengatakan semuanya itu pemberian Santa Claus, turut dilarang.

Perbuatan orang Islam yang melakukan sebarang tindakan menyerupai ajaran agama lain sangat dilarang dan ditegak kerana bimbang akan memesongkan akidah.

“Memakai pakaian berwarna merah seperti Santa atau pakaian lain yang melambangkan agama, termasuk menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan, termasuk mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja mahupun pokok Krismas, itu dilarang dalam Islam,” ujarnya lagi.

Secara kesimpulannya, umat Islam perlu memahami antara menyantuni pengikut agama lain dengan mengikuti perbuatan mahupun amalan sesuatu agama agar tidak mengundang fitnah mahupun menjejaskan akidah Islam.

Harus diingatkan juga bahawa, Krismas merupakan satu upacara memperingati Jesus yang dihidupkan semula setelah disalib bagi agama Kristian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram