PELAKON dan usahawan, Datuk Rosyam Nor menyifatkan kecederaan yang berlaku sewaktu penggambaran sebagai asam garam bergelar anak seni dan ia tidak perlu memperbesarkan.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 55, berkata, sebarang kemalangan yang tidak mengancam nyawa atau cedera parah tidak perlu dihebahkan.
Sebaliknya perkara tersebut boleh dibincangkan secara tertutup antara pihak terbabit.
“Benda berlaku secara tidak sengaja. Tetapi, sebenarnya tidak perlu kecoh, biarlah selesaikan secara dalaman.
“Apabila kecoh, ia bukan saja memberi kesan kepada nama pelakon itu sendiri, tetapi juga industri.
“Situasi itu menyebabkan ramai yang takut nak ambil pelakon itu berlakon,” katanya ketika ditemui pada majlis penganugerahan The Malaysian Book of Records kategori Pasaran Runcit Borong Pertama 24 jam (First 24 Hours Upscale Wholesale Retail Market) di ST Rosyam Mart Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Rosyam memberi reaksi tersebut ketika disoal mengenai tindakan pelakon yang dikatakan terlalu agresif sewaktu menjayakan babak ‘cekik’ antara Fezrul Khan dan Reen Rahim.
Tambah Rosyam, industri hiburan tempatan sangat kecil, jadi sebaiknya cuba jangan memperbesarkan hal yang tidak perlu.
Bahkan dia turut memberitahu pernah mengalami kecederaan ketika penggambaran filem Libas.
“Saya pernah tertumbuk Deen Maidin dalam KL Gangster sampai patah hidung. Tetapi, saya tidak memberi sebarang reaksi di sosial media atau memberitahu kepada media.
“Saya patah bahu ketika penggambaran Libas, tiada pula saya bising-bising. Sudah itu kerja kita, buat saja. Kita bukan Hollywood. Lagipun perkara itu sudah dikatakan tidak sengaja, jadi tidak perlu untuk memperbesarkan,” ujarnya.
Sebelum ini, Rosyam banyak membintangi filem aksi antaranya KL Gangster 2, Gerak Khas The Movie, Castello, Balistik, G Storm dan Chowrasta.
Untuk rekod, pertikaian antara Fezrul dan Reen bermula apabila kedua-dua menjayakan salah satu babak dalam filem seram, Batu Syaitan.
Reen mendakwa Fezrul mencekiknya hingga dia berasa hampir lemas dalam babak itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram