MEMINJAM wang sama daripada daripada ahli keluarga atau kenalan merupakan antara ‘cabang’ kewangan selamat buat peminjam. Ini kerana peluang untuk tidak membayar semula itu dilihat lebih cerah berbanding melakukan pinjaman daripada institusi perbankan.
Bagaimanapun, jika meminjam duit seseorang maka wajiblah membayarnya semula. Jika tidak, maka berdosalah kecuali jika pemiutang memaafkan dan menghalalkan hutang itu dengan niat bersedekah kepada penghutang.
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Riwayat Al-Tirmidzi)
Manakala orang yang berniat untuk tidak mahu melunaskan hutang akan dihukum sebagai pencuri.
Hadis Suhaib bin Sinan ar-Rumi RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa sahaja berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu ALLAH (pada hari kiamat) sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah)
Bagaimana pula dengan individu yang membuat pinjaman wang semata-mata untuk menunaikan umrah. Niat murni sebegitu tentu sahaja mudah untuk meraih simpati sesiapa, tetapi bagaimana pula sebaik sahaja pulang, hutang yang diberikan dilupakan begitu saja.
Menjawab mengenai itu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor memberitahu individu yang tidak berkemampuan untuk menunaikan ibadah tersebut tidak perlulah sehingga berhutang.
“Mereka yang tidak mampu menunaikan ibadah tersebut tidak dikehendaki berhutang untuk melaksanakan kewajipan ini.
“Melangsaikan hutang perlu diutamakan kecuali pemberi hutang menukar hutang itu kepada sedekah,” katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, golongan yang berdepan dengan kekangan tidak diwajibkan ke atas mereka.
“Sesiapa yang tidak mampu menunaikan umrah sama ada disebabkan keuzuran atau tidak cukup perbelanjaan maka gugurlah kewajipan itu daripada dirinya. Ini kerana ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan ke atas orang yang berkuasa (berkemampuan) sahaja,” jelasnya.
Bagaimanapun bagi yang tidak berkemampuan untuk melangsaikan hutang, maka diharapkan akan mendapat rahmat ALLAH SWT kerana ALLAH tidak membebankan sesuatu melebihi kemampuan seseorang manusia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram