Cara ‘rare’ tangkap ikan dengan tangan di Ulu Tembeling 


  • Hobi
  • Selasa, 03 Jan 2023

Aktiviti menangkap ikan menggunakan tangan antara kegiatan yang boleh dijadikan sebagai hobi ketika hari cuti hujung minggu.

MENIKMATI keindahan alam semula jadi memberi kesan mendalam tidak hanya jasmani, tetapi turut membuatkan kita menghargai serta mensyukuri kurniaan YANG MAHA ESA.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan khususnya di lokasi eko pelancongan sebagai destinasi percutian menarik bersama keluarga dan kenalan.

Salah satu destinasi menarik ialah Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang yang menjadi tumpuan kepada penggemar aktiviti dekat dengan alam semula jadi seperti memancing, mendaki atau redah belantara.

Bagi yang gemarkan cabaran baharu dan berbeza berbanding kebiasaan, boleh pelajari cara untuk menangkap ikan dengan menggunakan tangan.

majoriti2022 (40)

Tanpa umpan atau mata kail, apa yang diperlukan hanyalah pengalaman dan pengetahuan tentang ‘ilmu air’ sebagai bahan asas untuk meraih tangkapan.

Siapa tahu, aktiviti yang sekadar mempunyai rasa ingin tahu, boleh dijadikan sebagai hobi khususnya ketika hujung minggu atau masa terluang.

Jika memancing boleh dijadikan sebagai aktiviti menyeronokkan dan kegilaan, menangkap ikan dengan tangan ini juga mampu menjadi salah satu kegiatan menarik untuk dilakukan.

Cara mudah untuk menikmati pengalaman ini dengan memandu dari Taman Negara sekitar 100 kilometer ke Kampung Mat Daling, Pahang. Meskipun sebilangan warga setempat sudah menyandang jawatan profesional, namun amalan menangkap ikan menggunakan tangan masih diamalkan.

majoriti2022 (38)

Dianggarkan perjalanan memakan masa sekitar satu jam dari Taman Negara. Pemanduan juga perlu berhati-hati kerana permukaan jalan yang tidak rata dan kawasan sedikit berbukit.

Sudah dianggap tradisi, budaya ini tidak hanya mengisi masa lapang, tetapi turut menjadi salah satu tarikan serta lokasi eko pelancongan negara.

Masakan tidak, nuansa segar bersama deruan angin rimba pasti memberikan pengalaman berlainan terutama buat mereka yang tinggal di bandar batu yang mungkin jarang-jarang berpeluang menikmati suasana hijau dan suara air sungai mengalir.

majoriti2022 (41)

Menurut penduduk yang dikenali sebagai Yahya, beberapa hasil tangkapan seperti udang galah, ikan lampam dan ikan kelah.

“Dari dulu sampai sekarang ikan memang banyak. Tetapi, dahulu ikan besar, sekarang ini kecil,” jelasnya yang dipetik daripada video TikTok, jalanlihatdengar.

Sedikit fakta, sebelum pembinaan infrastruktur jalan raya dibina sekitar tiga tahun lalu, penduduk Kampung Mat Daling perlu menaiki bot mengharungi perjalanan selama 8 jam untuk ke bandar Jerantut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram