HOBI santai seperti berkebun atau mengumpul setem memang sesuai untuk dilakukan oleh sesetengah orang. Tetapi, tidak kurang juga yang gemarkan aktiviti memicu adrenalin sekali gus memberikan cabaran buat peminat aktiviti ekstrem.
Tidak mengira sama ada wanita atau lelaki, perasaan ingin tahu terhadap ketinggian, kelajuan dan penggembaraan antara menjadi pilihan.
Oleh itu, sempena kedatangan 2023, apa kata cuba teroka hobi baharu yang pastinya akan memberi pengalaman dan pengetahuan berbeza.
Berikut Majoriti senaraikan variasi pilihan aktiviti sukan lasak yang boleh dijadikan hobi baharu sepanjang tahun nanti:
Parasailing
Parasailing bukanlah semata-mata sukan ekstrem jika melibatkan tahap kemahiran dan ketahanan fizikal. Kekuatan tenaga yang diperlukan atau bahaya yang dihadapi oleh peserta antara yang menjadi cabaran. Tetapi, peserta pastinya berasa puas apabila berjaya ‘terbang’ bagaikan burung di awangan.
Motorcross
Aktiviti sukan permotoran motorcross boleh dikategorikan sebagai sukan lasak popular tanpa mengira jantina. Cabaran litar yang berbukit, curam dan selekoh tajam mampu memberi ‘saingan’ hebat bagi mereka yang sukakan cabaran.
Sukan ini juga boleh menjadi pilihan hobi baharu yang dapat memberikan keterujaan dan peluang untuk mengembara ke dalam hutan. Hal ini kerana, trek motorcross sering dilakukan berhampiran dengan kawasan rimba dan jauh dari bandar.
Terokai gua
Bagaikan memasuki ke dunia berbeza, kembara ke dalam gua mampu menjadi hobi menarik buat mereka yang sukakan misteri dan berkemahiran tinggi. Umum tahu, kembara ke dalam gua memerlukan peralatan dan kemahiran yang betul bagi mengelakkan kemalangan atau sesat.
Selain terdapat juga ancaman haiwan berbisa seperti ular, kala jengking atau binatang lain antaranya kelawar, lintah dan sebagainya. Kawasan batu yang sempit, kolam air atau anak sungai antara cabaran buat mereka yang berani.
Bounldering (panjat tebing dalam bangunan)
Merupakan salah satu bentuk aktiviti memanjat tebing yang dilakukan di dalam bangunan. Aktiviti ini turut tergolong dalam kategori sukan lasak. Penggunaan tali keselamatan perlu digunakan bagi mengelakkan kemalangan jiwa berlaku.
Terdapat beberapa ketinggian tetinggian tebing melebihi lima meter dari atas tanah. Ini juga boleh menjadi satu bentuk senaman yang dapat menguatkan hampir semua otot badan.
Selain dapat memberikan dimensi hobi lasak baharu, bounldering juga boleh dilakukan untuk menguatkan stamina atau latihan untuk melakukan aktiviti lain seperti memanjat gunung.
Berakit redah jeram
Aktiviti berakit redah jeram atau dipanggil white water rafting ini memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Meredah sungai dalam keadaan air deras dengan permukaan kawasan batu. Pemakaian jaket keselamatan dan topi keledar penting sewaktu melakukan aktiviti ini.
Semangat kerjasama dan kemahiran mengharungi halangan antara yang dapat membantu sewaktu melakukan sukan ini. Selain menimba pengalaman, berakit redah jeram juga mampu membina hubungan persahabatan yang kukuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram