MEMELIHARA ikan gapi sudah menjadi kebiasaan dan hobi kegemaran sejak kecil. Meskipun tidak memiliki sebarang info atau pengalaman, Khairi tetap optimis dengan kecenderungannya.
Khairi atau nama lengkapnya Khairi Anam Mohd Nawai, 35, tetap meneruskan kecintaannya kerana memelihara ikan gapi sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Disebabkan itu, dia berusaha untuk meneroka seberapa banyak maklumat untuk mendalami minatnya sekali gus mengembangkan lagi minatnya.
“Dari kecil memang sudah meminati. Dahulunya saya bela ikan gapi yang berada di dalam longkang. Dahulu jika mahu membelinya pun dijual pada harga RM2 atau RM3 seekor.
“Namun, sekarang harga jualannya boleh mencecah RM100 hingga RM150 sepasang,” jelasnya kepada Majoriti.
Pendapatan tambahan
Melihat kepada peluang yang ada, Khairi menyifatkan harga pasaran semasa dapat memberi kesempatan untuk memperoleh sumber pendapatan tambahan.
Secara ringkasnya terdapat 30 jenis ikan gapi, tetapi Ribbon, Short Body dan Pattern Delta antara yang paling mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Kualiti ikan dinilai berdasarkan warna, bentuk ekor dan saiz bentuk badan. Jenis-jenis ikan bergantung kepada permintaan kerana sama ada bentuk fizikal ikan dan ‘kecantikan’.
Secara mata kasar, ikan gapi kelihatan sama seperti ikan laga. Bagaimanapun, Khairi menjelaskan, meskipun kelihatan serupa, tetapi berbeza.
“Ikan laga ini jenis berbeza dan tidak sama dengan gapi. Bagi mereka yang tidak mengetahui atau mungkin tidak tahu, boleh minta pandangan pakar," katanya.
Penjagaan
Bertanya tentang keputusan pilihannya itu, Khairi memberitahu penjagaannya mudah kerana tidak memerlukan ruang luas untuk memelihara ikan tersebut.
Begitu juga sewaktu proses mengasingan telur dan ikan induk. Telur diasingkan di tempat lain berlainan daripada ikan induk.
“Tidak semua telur yang dihasilkan berkualiti, jadi sebahagiannya perlu buang atau diberikan makan pada ikan lain.
“Sementara telur ikan yang berkualiti akan dijaga dengan baik agar dapat dijadikan berkualiti sekali gus dijual kepada pelanggan,” jelasnya.
“Pemerhatian khusus juga tidak perlu, tetapi paling utama fokus kepada penjagaan air. Air yang ada itu perlu dinyahkan klorin terlebih dahulu kerana bimbang nanti haiwan mati,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairi juga mengatakan bahan anti klorin perlu diletakkan dalam air sebelum dimasukkan ikan.
“Selepas meletakkan ubat itu, sebaiknya biarkan sehingga dua atau tiga hari agar air tersebut benar-benar tiada klorin lagi.
“Penjagaan makanan juga tidak terlalu mahal kerana dan dianggar sekitar RM20 atau RM30 pallet. Di samping itu makanan tambahan lain, telur hidup atau artemia (BBS) yang berharga RM100 untuk 100 gram,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairi juga pernah memenangi beberapa pertandingan ikan gapi di kawasan tempat tinggalnya. Dianggar sekitar lima trofi dimenanginya sepanjang dua atau tiga tahun penyertaan.
Pilihan
Sebelum mengakhiri perbualan Khairi turut menasihatkan agar pemilihan ikan perlu merujuk kepada individu berpengalaman.
Perkara itu juga dapat mengelakkan daripaa pelanggan menjadi mangsa penipuan.
Katanya, penjualan perlu dilakukan dengan jujur agar perkara itu tidak menyebabkan orang lain hilang minat.
“Saya menasihatkan agar urusan penjualan tidak terlibat dengan penipuan. Jika perkara itu berlaku pelanggan akan kecewa dan hilang minat.
“Disebabkan itu kita perlu jujur dan jangan menipu. Jika tiada orang yang meminati aktiviti ini, bimbang lama ke lamaan, terus akan dilupakan,” katanya.
Khairi juga menasihat agar mulakan pemilihan telur ‘reject’ atau telur rosak sebagai peringkat awal. Hal itu kerana telur rosak tidak terlalu mahal.
Setelah mahir dan berpengalaman, kemudian boleh teruskan penjagaan kepada ikan yang seterusnya, jauh berkualiti dan mahal.
“Bagi mengelakkan pembaziran, sebaiknya pelihara saja telur ikan yang rosak. Kos lebih rendah dan jika ikan itu mati tidak terlalu kecewa,” ujar jejaka dari Bachok, Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram