PEREDARAN masa seiring dengan perkembangan teknologi membuatkan daya pemikiran seorang berubah. Situasi itu secara tidak langsung mempengaruhi cita rasa dalam pelbagai aspek termasuklah pendekatan terhadap penjualan buku dalam pasaran.
Sebagai contoh, jika dahulu sebuah kedai buku lebih fokus kepada pemasaran buku, alat tulis dan alat bantuan pendidikan seperti kamus, cakera padat video (VCD) atau cakera video digital (DVD), tetapi kini berdekatan berbeza pula digunakan.
Itulah yang cuba diterjemahkan oleh Eslite Spectrum yang merupakan satu jenama kedai buku berpangkalan di Taiwan. Menggunakan konsep santai dan bersahaja, Eslite Spectrum menjadi kegilaan baharu buat bibliofil (penggemar buku) sekali gus menjadi ‘ketagih’ bahan bacaan.
Eslite Spectrum tidak seperti kedai buku biasa kerana merupakan sebuah hab gaya hidup kreatif dan budaya. Dianggarkan sekitar 35 peratus daripada ruang seluas 6,503 meter persegi dipenuhi dengan buku manakala selebihnya restoran, kafe, fesyen, seni dan kraf, alat tulis dan barangan hadiah.
Merangkap tulang belakang Eslite Spectrum, Joseph Yeoh dan Mercy Wu menyifatkan premis pertama di Asia Tenggara itu sebagai medan untuk generasi muda meneroka sisi kreatif mereka.
“Saya pertama kali melihat Eslite ketika berada di Hong Kong sekitar 10 tahun lalu. Persekitaran yang mempersona dan lengkap.
“Ia merangkumi tiga hingga empat tingkat dan walaupun saya masih muda ketika itu, saya fikir ini konsep yang menakjutkan,” kata Joseph.
Apa yang membuatkan Joseph berasa kagum, Eslite Hong Kong tidak sahaja menjual buku, tetapi turut menghidangkan minuman teh, kesenian kraf dan kelengkapan mengembara.
Mercy Wu (kiri) dan Joseph Yeoh.
“Saya ingin budaya dan gaya sebegini dapat diterapkan di sini. Awalnya saya bermimpi jika kedai sebegini boleh ada di tanah air,” jelasnya.
Namun, semuanya bukan lagi permainan fantasi kerana Eslite Spectrum mula dibuka kepada umum pada 17 Disember di pusat beli-belah The Starhill, Kuala Lumpur.
Pengerusinya, Mercy Wu memberitahu, konsep tersebut dapat membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk datang dan mencuba pelbagai perkara lain selain mendapatkan buku.
“Ayah saya ingin tempat ini sebagai inklusif agar semua orang boleh melawat dan sama rata. Dia percaya buku adalah satu cara untuk mendekati dan menyentuh orang ramai,” kata Mercy yang juga anak kepada pengasas Eslite Spectrum, Robert Wu.
Cabaran
Mengulas cerita mengenai perniagaan itu, Mercy berkongsi tentang perjalanan Eslite Spectrum yang berhadapan dengan kerugian selama 15 tahun. Disebabkan itu percambahan cabang perniagaan ke bidang lain seperti makanan dan minumam (F&B), fesyen, kraf dan hadiah dapat membantu.
Meskipun mempunyai daya tarikan tersendiri, Mercy tidak menafikan cabaran digital sedikit sebanyak memberi cabaran kepada penjualan fizikal di premis.
“Kami mula menghadapi cabaran dan persaingan daripada kedai dalam talian pada 2017. Jadi kami mengubah strategi maka eslite.com dilahirkan,” katanya.
Sementara itu, Joseph yang juga merupakan rakan kerjasama Mercy menceritakan tentang cabaran membangunkan Eslite Spectrum di The Starhill yang berhadapan dengan keterbatasan ruang,
“Starhill tidak besar berbanding pusat beli-belah lain di ibu kota, tetapi rekaan untuk memberikan pengalaman unik kepada orang ramai apabila mereka berkunjung berasa teruja,” ujarnya yang mengatakan pengubahsuaian dilakukan pada suku terakhir 2019.
Tarikan
Beralih kepada matlamat dan sasaran, Mercy percaya Eslite Spectrum akan menjadi jambatan untuk menghubungkan budaya dengan kesesuaian masyarakat tempatan.
“Matlamat kami adalah untuk membuatkan orang ramai merasai kemesraan dan semangat ketika melawat kedai. Bukan sahaja dapat menjadi pusat bacaan, tetapi turut menjadi pusat bersosial dan mengeratkan hubungan. Ini mengajar anda untuk menjadi lebih reflektif dan anda tidak perlu bertindak balas dengan segera,” ujar Mercy.
Untuk rekod, Eslite Spectrum memiliki 47 buah premis di luar negara antaranya di Taiwan sementara cawangan Kuala Lumpur menjadi kedai ke-48. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram