Merentasi masyarakat, Yayasan Hasanah optimis bantu kanak-kanak kurang bernasib baik capai impian


Selain perkembangan pendidikan, Yayasan Hasanah turut memberi perhatian kepada tahap kesihatan mental pelajar.

PRIHATIN terhadap masa depan golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik, Yayasan Hasanah berusaha untuk merealisasikan impian mereka agar dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Di bawah Khazanah Nasional Berhad, ia adalah sebuah badan yang memberi fokus kepada jalinan kerjasama dengan beberapa pihak bagi membantu pembentukan dan perkembangan dari segi pendidikan, pembangunan komuniti, persekitaran, kesenian, ruang awam dan pengetahuan.

Menurut Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari, pihaknya optimis untuk meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan menerusi pelbagai bentuk inisiatif dan sokongan, merentasi segenap lapisan masyarakat.

“Pelbagai usaha dilakukan dengan rakan kerjasama dalam menyokong masyarakat melalui bidang pendidikan dan pembangunan komuniti,” katanya kepada Majoriti.

Antara inisiatif yang dilakukan seperti Sekolah Bajau Laut Omadal (Iskul). Program ini menyediakan pendidikan asas kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan di Pulau Omadal, Sabah.

majoriti2022 (3)

Seramai 33 kanak-kanak daripada keluarga B40 menyertainya termasuk memperkasakan Guru Kecil iaitu bekas pelajar yang sudah tamat pengajian kembali membantu mendidik murid-murid baharu.

Seterusnya program Yayasan Amir iaitu Program Sekolah Amanah atau TSP dengan tujuan meningkatkan prestasi pelajar serta budaya pembelajaran pelajar di sekolah.

“Kami memainkan peranan penting sebagai fasilitator dan penasihat kepada sekolah-sekolah di bawah program ini.

“Tahun ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor disenarai pendek dalam Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu SK Kempadang bagi kategori inovasi sementara SMK Kampong Jawa berkaitan menangani cabaran,” jelasnya.

Meneruskan usaha membantu mereka yang memerlukan, program Penilaian Keseluruhan KNK dan Lembaga Peperiksaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membangunkan pentaksiran alternatif untuk pelajar yang berdepan masalah pembelajaran.

Bukan sahaja fokus kepada pembelajaran, bahkan Yayasan Hasanah turut memberi bantuan terhadap pengurusan kesihatan mental menerusi Yayasan Pintar yang juga rakan kerjasamanya.

“Kerjasama dengan Yayasan Pintar untuk Program Kesihatan Mental PINTAR-UTAR untuk guru dan Kaunselor Sekolah di Sarawak (PUMP 3.0) pula bagi memberi kesedaran tentang kesihatan mental belia,” jelasnya.

Meringankan beban

Tempat pembelajaran komuniti Bajau Laut.

Selanjutnya, Yayasan Hasanah meneruskan bantuan sokongan kewangan agar kumpulan sasar dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Terdapat dua jenis bantuan yang ditawarkan dengan tujuan meringankan beban.

Pertama, Yayasan Khazanah yang merupakan inisiatif untuk menyokong dan melatih individu berkebolehan untuk menimba pengalaman serta memberi peluang peningkatkan taraf hidup.

Kedua bantuan disalurkan menerusi Me.reka iaitu jalinan kerjasama dengan Women of Will bagi program pembangunan komuniti di PPR Lembah Subang 1 di Selangor.

“Bagi menyokong isu-isu komuniti, kami bekerjasama di bawah program pembangunan belia.

“Diadakan untuk meningkatkan kemahiran dan melengkapkan belia yang kurang bernasib baik dalam komuniti berpendapatan rendah dengan kemahiran digital dan memberi mereka peluang untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Untuk rekod, pada 2021 Yayasan Hasanah berjaya mengurus dana berjumlah RM554 juta yang memberi manfaat kepada 1.48 juta individu menerusi 222 projek.

Rakan kerjasama aktif antaranya WWF, Women of Will, Women’s Centre of Change, Cruyff Court dan Persatuan Aktivis Sahabar Alam (KUASA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram