MELAKUKAN perkara yang di luar kebiasaan bukan satu perkara mudah apatah lagi ingin menjadikan sebagai rutin harian.
Terkait dengan aktiviti fizikal yang melibatkan tenaga tentu sahaja mempunyai pelbagai halangan dan penolakan untuk dilakukan.
Masakan tidak kerana khalayak lebih memilih untuk melakukan perkara yang menawarkan kegirangan dan santai lebih-lebih lagi sebagai hobi.
Jadi perkara seperti olahraga atau joging bukan berada di carta teratas.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Januari lalu, kadar obesiti negara ini merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus.
Angka itu berbeza dengan Brunei yang mencatat 14.1 peratus, Thailand (10 peratus) manakala Indonesia (6.9 peratus).
Data tersebut diperoleh KKM berdasarkan Laporan Semakan Populasi Dunia 2019.
Pada masa sama KKM memberitahu berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2019, dianggarkan 50.1 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan.
Jadi selain amalan pemakanan sihat, aktiviti melibatkan fizikal antara salah satu cara penjagaan kesihatan.
Oleh itu bersenam boleh dijadikan sebagai hobi dan amalan harian bukan sahaja baik untuk tubuh badan, tetapi mempunyai emosi serta mental.
Pemilik nama Nana Al Haleq, 36, memberitahu, ketekalan merupakan perkara asas untuk menjadikan rutin senaman sebagai hobi.
Katanya, jika ingin menjadikan aktiviti sihat atau senaman, ketekalan atau konsistensi merupakan perkara asas yang diperlukan.
“Kita kena cari sesuatu aktiviti yang buat rasa gembira untuk dilakukan. Kalau kita paksa diri atau ikut orang lain, perkara itu tidak akan berkekalan.
“Sekarang ada banyak kelas kesihatan sama ada dalam talian atau luar talian. Boleh cari kawan atau kumpulan di media sosial supaya ada ‘geng’ untuk melakukannya,” jelas Nana kepada Majoriti.
Waktu sesuai
Memiliki kemahiran sebagai jurulatih kesihatan, Nana menasihatkan aktiviti senaman dilakukan pada awal pagi.
Sebaiknya sebelum memulakan sebarang rutin harian lain atau pada waktu petang.
“Sebaiknya boleh dilakukan mengikut kesesuaian jadual masing-masing agar tidak membebankan.
“Pilih waktu yang terbaik asalkan bukan menghampiri waktu tidur. Saya sarankan agar lakukan sesuatu yang lebih santai dan mudah agar tidak mengganggu waktu tidur serta rehat,” jelasnya optimis.
Bukan sahaja berbicara soal masa, pada masa sama Nana turut melihat aktiviti tersebut terkait dengan cara bekerja termasuk lokasi.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan seperti berbasikal atau menggunakan treadmill.
“Tetapkan durasi masa agar lebih konsisten. Sekiranya terlalu lama duduk membuat kerja, cuba berdiri dan lakukan senaman pergerakan.
“Begitu juga ketika berada di pejabat. Sebaiknya selepas sejam duduk, cuba lakukan senaman sekitar 15 hingga 20 minit,” katanya.
Atasi unsur penghalang
Selain memberi nasihat mengenai perkara yang boleh dilakukan, Nana turut tidak menolak wujudnya halangan untuk terus kekal melakukan rutin itu.
Beberapa perkara seperti kecederaan akan membataskan pergerakan fizikal.
Kesakitan yang dirasakan menyebabkan seseorang berasa sukar, mengalah atau kecewa untuk meneruskannya.
Namun, sebenarnya ada beberapa aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengatasi perkara itu khususnya membantu memulihkan otot, saraf, tulang dan ligamen.
“Dapatkan nasihat daripada pakar untuk melakukan fisio atau latihan pemulihan.
“Selain itu, kurang dorongan atau keyakinan diri membuatkan seseorang itu memilih untuk mengelakkan daripada menjadikan aktiviti fizikal ini sebagai hobi.
“Pelbagai alasan seperti kekurangan kelengkapan, pusat rekreasi terlalu jauh dan sebagainya,” ujar Nana.
Baginya segala perkara itu boleh diatasi dengan cara percaya diri, dapatkan ilmu dan bijak mengurus masa.
Sebaiknya lakukan senaman memanaskan badan sama ada dengan menonton video dalam talian atau mendapatkan khidmat jurulatih profesional.
“Susun jadual kerja, belajar atau sebagainya agar seimbang dengan aktiviti harian dan kesihatan.
“Jika tidak lakukan secara perlahan-lahan seperti berjalan kaki atau menaiki tangga,” katanya.
Secara kesimpulannya, menurut portal myhealth.gov, aktiviti fizikal mampu meningkatkan kualiti kesihatan dan mengurangkan risiko penyakit kronik.
Pada masa sama, melakukan senaman secara berterusan baik untuk tubuh badan. Bagaimanapun individu berusia 40 tahun ke atas perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang aktiviti fizikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram