Buah potong dan teh hijau antara tips elak mengantuk ketika memandu


  • Sihat
  • Ahad, 04 Dis 2022

Memandu ketika mengantuk boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini. — Gambar Hiasan/YouTube

PENGAMBILAN gula-gula antara makanan segera yang sering diambil untuk menghilangkan mengantuk ketika memandu.

Namun, tahukah pengambilan snek itu sangat tidak digalakkan kerana mengandungi kadar gula yang tinggi.

Dianggarkan sebiji gula-gula mengandungi satu sudu teh gula. Lalu bayangkan bagaimana jika mengambil sekitar lima biji gulu-gula yang akan mengakibatkan kita mengambil lima sudu teh.

Begitu juga dengan minuman tenaga yang boleh mencecah sekitar lapan sudu teh gula dalam setiap tin.

Pengambilan gula berlebihan tidak baik untuk kesihatan dan boleh menyebabkan risiko kencing manis, obesiti dan pelbagai masalah kesihatan lain.

Sama juga dengan pengambilan makanan ringan lain yang mempunyai kandungan garam, lemak, perasa, pewarna, dan gula yang tinggi, yang membawa risiko kesihatan yang sama.

Terdapat beberapa makanan yang boleh dipilih sebagai pilihan yang lebih sihat untuk menghilangkan mengantuk.

majoriti2022 (6)

Menurut Pegawai Sains Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Muhammad Asyraf Ismail, variasi hidangan sihat dapat membantu menghilangkan mengantuk ketika memandu.

Antaranya, potongan buah-buahan yang mengandungi kandungan air, vitamin, mineral dan serat.

Kelebihan ini bagus untuk dijadikan snek ketika memandu.

Tidak hanya itu terdapat beberapa pilihan makanan lain yang boleh dijadikan pilihan sekali gus mampu dijadikan amalan pemakanan sihat.

“Buah potong atau masam seperti limau dapat memberikan rasa sensasi dan mengurangkan rasa mengantuk. Selain buah, kekacang juga berpotensi membantu menghilangkan mengantuk.

“Sumber protein serta lemak yang baik kepada badan, namun pastikan pilih kekacang tanpa tambahan garam atau perasa,” katanya kepada Majoriti.

Pada masa sama Muhammad Asyraf turut menyarankan biskut bijirin penuh seperti biskut oat, biskut gandum penuh, atau biskut sayuran sebagai pilihan.

Jangan pandang rendah pada kehebatan air putih (air kosong atau mineral) yang turut boleh membantu menghilangkan dehidrasi dan membuatkan badan lebih segar dan mengurangkan rasa mengantuk.

Pencinta kopi

Sementara itu Muhaammad Asyraf juga tidak menolak terhadap pengambilan kopi yang turut boleh membantu mengurangkan rasa mengantuk.

Disebabkan kandungan kafein yang tinggi, kopi sering menjadi pilihan pemandu sebagai persediaan untuk menempuh perjalanan jarak jauh seperti pulang ke kampung ketika sambutan hari perayaan.

“Hidangan kopi juga disediakan bersama kandungan gula atau susu pekat manis yang tinggi. Boleh minta untuk dijadikan kopi O kurang manis atau gantikan susu pekat manis dengan susu rendah lemak.

“Mungkin rasanya agak kurang menarik tetapi kesan kepada kesihatan adalah sangat baik. Boleh juga gantikan dengan minuman lain seperti teh atau teh hijau yang boleh memberikan ketenangan dan memberikan fokus kepada pemanduan,” tambahnya bersungguh-sungguh.

Diet seimbang

Driver travels in his car on motorway, view from inside the car. Hands on steering wheel, cold summer weather

Dalam pada bercerita soal pengambilan makanan sihat, pemandu dinasihatkan agar elakkan daripada pengambilan makanan berat atau makanan terlalu banyak kerana menyebabkan rasa mengantuk lebih kuat.

Berikan masa sekitar satu hingga dua jam selepas makan sebelum memulakan semula pemanduan. Bagi mendapatkan lebih keselesaan, ambil makanan dalam kuantiti sedikit atau bersesuaian.

“Makanan mempunyai kandungan lemak tinggi boleh mengakibatkan rasa mengantuk seperti kandungan minyak atau santan. Situasi itu mengakibatkan rembesan hormon serotonin akan menyebabkan kita berasa mengantuk,” ujarnya.

Tidak hanya fokus kepada pengambilan makanan, terdapat beberapa langkah persediaan lain yang boleh diamalkan bagi mengelak mengantuk ketika memandu.

Antaranya rehat yang cukup seperti dapatkan tidur berkualiti antara enam hingga lapan jam sebelum memulakan pemanduan. Waktu tidur yang teratur boleh membuatkan badan menjadi selesa dan santai.

“Jika masih mengantuk ketika memandu, ambil masa berhenti dan tidurlah sebentar kerana ini akan membuatkan kita rasa lebih segar selain menghilangkan rasa mengantuk.

“Makan snek berkhasiat bagi membantu menghilangkan rasa mengantuk. Jika ada teman saat memandu, cuba berbual supaya tidak bosan.

“Boleh juga dengarkan muzik atau siaran radio bersesuaian untuk menghilangkan rasa mengantuk. Pilihan lain boleh juga hentikan kenderaan dan buat senaman regangan ringkas bagi menyegarkan kembali badan dan menghilangkan rasa mengantuk,” terangnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram