CABARAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu membuatkan seorang peniaga berusaha mencari alternatif lain bagi menjana pendapatan.
Berbekalkan kata, ulat dalam batu pun boleh hidup, ini pula manusia. Semangat itu dijadikan kekuatan Muhammad Hafizi Abdul Karim yang berusaha meluaskan cabang rezeki menerusi hobi untuk memperoleh sumber kawangan.
Muhammad Hafizi memanfaatkan bakat seni sebagai pelukis sekali gus berusaha mencipta kelainan kesenian daripada biasa.
“Saya gemar melukis sejak di bangku sekolah lagi, namun selepas tamat persekolahan saya sedar bukan mudah untuk menjadikan sebagai kerjaya.
“Sejak itu saya hanya melukis secara suka-suka pada masa lapang. Bagaimanapun selepas perniagaan saya terjejas semasa PKP, saya kembali melukis dan cuba menjual untuk menampung pendapatan. Alhamdulillah sambutan luar biasa,” jelasnya yang sebelum ini menjalankan perniagaan air buah.
Idea menghasilkan kesenian daun itu tercetus apabila dia berasa tidak puas hati dengan hanya melukis pada helaian kertas biasa.
Justeru, demi mewujudkan kelainan di samping mencipta identiti tersendiri, Muhammad Hafizi menggunakan kreativitinya berfikir di luar kotak.
“Sehinggalah suatu hari pada tahun lepas, isteri saya ada melihat pelukis di luar negara menggunakan daun sebagai medium seni dan dia bertanya sama ada saya mengukir wajahnya di atas daun.
“Saya jawab boleh, tetapi dia tidak percaya. Jadi saya mencuba dan berjaya walaupun hasilnya tidaklah begitu memuaskan,” ujarnya.
Kemudiannya dia berusaha untuk memantapkan kemahiran dengan mengukir potret dan objek lain seperti bangunan pada daun.
Segalanya bermula apabila dia mula menghasilkan ukiran daripada daun nangka dengan tulisan ‘Free Gaza’ dengan kenyataan gambar; ”Ukiran daun ini akan kering tetapi doa rakyat Malaysia tidak akan kering buat rakyat Palestin.”
“Sejak itu saya tidak putus-putus menerima tempahan dan amat berterima kasih kepada semua yang mempercayai karya saya.
“Saya amat bersyukur dalam keadaan tersepit, ALLAH SWT tunjukkan kepada saya walaupun dengan helaian daun, jika dia mengkehendaki (helaian daun) dapat dijadikan sumber rezeki, ia tetap akan jadi rezeki,” jelasnya.
Lakaran
Tumpuan khusus perlu dilakukan bagi menghasilkan ukiran atas permukaan daun. Awalnya dia akan membuat lakaran terlebih dahulu sebelum mengukir menggunakan pisau.
“Ia perlu dilakukan dengan hati-hati. Selepas mengukir, daun itu akan diawetkan dan dimasukkan ke dalam bingkai gambar.
“Dahulu saya bermula dengan ukiran pada daun nangka, tetapi saya gunakan daun beberapa pilihan lain seperti daun teja dan dokong. Bagi ukiran wajah, saya akan menggunakan daun teja saja,” terangnya.
Muhammad Hafizi memberitahu dia mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyiapkan ukiran potret manakala beberapa hari untuk ukiran objek lain.
Saiz daun yang sesuai ialah selebar tiga jari orang dewasa, namun bergantung kepada imej ukiran.
Selain ukiran potret, Muhammad Hafizi turut menghasilkan lukisan dan ukiran gambar binaan, kaligrafi, haiwan serta pemandangan.
Selain itu, tempahan juga bergantung kepada kehendak pelanggan sama ada mengikut isu semasa atau permintaan peribadi.
Selain daripada mengangkat martabat kesenian, ukiran pada daun ini juga dapat melatih dirinya untuk lebih bersabar dan prihatin.
Bagi satu ukiran yang dibingkaikan dijual bermula daripada harga RM80 hingga ratusan ringgit manakala bagi tiada bingkai harganya adalah RM65.
Untuk rekod, Muhammad Hafizi sebelum ini pernah mendapat jemputan daripada tokoh politik negara, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggakan menjemputnya ke kediaman di Alor Setar, Kedah. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram