Tahap kesihatan bertambah baik, Rara tetap bersemangat demi pengundi


  • Politik
  • Selasa, 15 Nov 2022

Rara berusaha untuk bertemu dengan pengundi di Bentong sehingga tempoh kempen tamat meskipun baru mengalami keguguran pada minggu lalu.

KHABAR duka yang menimpa calon Pakatan Harapan (PH), Parlimen Bentong, Pahang, Young Syefura Othman yang mengalami keguguran baru-baru ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat untuk terus berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Young Syefura atau mesra dengan panggilan Rara, 33, optimis untuk meneruskan usaha agar dapat bertemu dengan pengundi Parlimen Bentong.

Katanya, keadaan kesihatan yang semakin pulih memberikan dirinya peluang untuk terus mencari ruang dan peluang bagi melaksanakan tanggungjawabnya sebelum tempoh berkempen tamat.

“Alhamdulillah kesihatan saya semakin baik. Saya baru sahaja selesai bersenam.

“Pada hari ini hingga tamat tempoh berkempen saya akan terus berusaha untuk berjumpa dengan seramai mungkin pengundi yang boleh di Parlimen Bentong,” katanya kepada Majoriti.

majoriti2022 (2)

Sebahagian aktiviti Rara bersama penduduk setempat di Pahang.

Antara calon lain yang turut bertanding merebut kerusi Parlimen Bentong adalah Datuk Roslan Hassan (dari Perikatan Nasional), Wong Tack (Bebas), bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai (Barisan Nasional) dan Mohd Khalil Abdul Hamid (Bebas).

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari itu berkongsikan berita mengalami keguguran apabila kandungannya mencecah usia enam minggu.

Rara berkongsi perkara itu di Instagram menerusi gambar kit ujian kehamilan dalam keadaan gambar hitam putih.

Rara melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan, Muhammad Edrin Nordin pada 10 April 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram