Bahang gelombang politik cetus idea filem berkisar realiti hidup politikus 


  • Hiburan
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Kisah mengenai suasana pemimpinan negara dan karakter tokok politik dalam karya tempatan.

POLEMIK jawatan Perdana Menteri bagi Pilihan Raya ke-15 (PRU15) menjadi perbualan hangat masyarakat setempat. Tidak hanya media tempatan bahkan negara luar juga turut memberikan liputan meluas.

Apabila situasi tersebut berlaku, ramai yang muncul mengeluarkan fahaman dan pandangan masing-masing tentang lanskap politik tanah air.

Dalam pada semuanya menumpahkan ideologi terhadap politik semasa negara, terdapat beberapa naskhah yang boleh ditonton bagi membuka mata dan minda tentang dimensi golongan politikus.

Jom semak karya berkisar dunia politikus yang membariskan pelakon tempatan dalam memaparkan cerita sebenar mahupun inspirasi dari kejadian sebenar.

Rise Ini Kalilah

2018 Rise

Filem Rise: Ini Kalilah arahan Saw Teong Hin, Nik Mustapha dan MS Prem Nath diterbitkan oleh WebTV Asia pada September 2018.

Membariskan pelakon seperti Remy Ishak, Mira Filzah, Sangeeta Krishnasamy, Jack Tan, Shashi Tharan dan Jenn Chia.

Berlatar belakangkan senario Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Elemen yang diketengahkan nyata satu kekuatan buat filem ini, tetapi respon negatif tidak henti-henti menghujani naskhah tersebut.

Biarpun berani penampilkan sesuatu yang berbeza, namun penceritaan yang ringkas, cetek dan mudah tidak setanding dengan keadaan politik sebenar.

Daulat

Daulat

Diarahkan Imran Sheik, filem ini boleh memberikan nuansa luar biasa terhadap industri perfileman tanah air.

Kualiti lakonan Vanida Imran, Rashidi Ishak, Tony Eusoff, Sangeeta Krishnasamy, Jasmine Suraya Chin, Cristina Suzanne dan Zul Zamir memberi kesan luar biasa.

Pujian dan tepukan gemuruh perlu diberikan kepada gandingan Vanida dan Tony dilihat dekat dengan penonton.

Karakter yang ditonjolkan membuatkan penonton berteka-teki siapakah gerangan tuan punya badan di dunia realiti.

Plot penceritaan yang kemas dan memutarbalikkan plot membawa penonton di satu dimensi berbeza sekali gus mewujudkan sudut pandang baharu terhadap keberanian karyawan tempatan.

Diterbitkan pada 2020 filem ini seharusnya diangkat ke layar perak berbanding bersiaran di platform penstriman digital.

M For Malaysia

Berbeza dengan dua filem tersebut, M For Malaysia pula lebih menjurus ke arah dokumentari.

Arahan Dian Lee dan Ineza Rousille itu diterbitkan pada September 2019.

Difahamkan, karya tersebut tersenarai untuk kategori Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Oscar ke-92.

Bagaimanapun M For Malaysia gagal untuk meletakkan diri dalam tersenarai pendek anugerah terbabit.

Naskhah ini dokumentasi PRU14 pada Mei 2018 bermula daripada kempen hingga malam pilihan raya.

Ketika itu, Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan dan Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Tanda Putera

2013 Tanda Putera

Tidak dinafikan terdapat banyak filem tempatan yang mengangkat nilai patriotik dan semangat juang.

Namun, filem Tanda Putera lebih menjurus ke arah cerita corak kepimpinan politik semasa yang bukan sahaja ingin menuntut kemerdekaan negara, tetapi usaha berdiri di atas kaki sendiri setelah bebas daripada penjajah.

Memberi gambaran tentang kehidupan masyarakat setempat dan keadaan politik negara ketika itu.

Pelbagai konflik yang harus dihadapi ketika Pilihan Raya ketiga selepas kemerdekaan negara pada 1969.

Filem ini diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba, terbitan Pesona Pictures dan dibintangi oleh Rusli Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Kavita Sidhu, Ika Nabila, Norman Hakim, Nazril Idrus dan Linda Hashim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram