UMUM tentu sahaja mengetahui bahawa pemakanan termasuk dalam senarai penting untuk memastikan kesihatan seimbang selain konsisten melakukan aktiviti fizikal.
Perkara itu termasuk pengurangan pengambilan minuman manis, makanan proses, bergoreng termasuk makanan segera.
Amalan pengambilan makanan seimbang bukan sahaja dapat membantu mengekalkan berat badan, tetapi turut memberi manfaat kepada tubuh dalam melawan penyakit.
Menurut hello doktor, sendi pada dasarnya adalah poket yang dipenuhi dengan cecair dikenali sebagai sinovial.
Boleh diklasifikasikan sebagai kusyen dan menyihatkan tulang rawan termasuk membolehkan tulang bergerak dengan baik antara satu sama lain.
Oleh itu jom semak senarai makanan yang disarankan baik untuk membantu sendi lebih sihat.
1. Bawang putih dan merah
Kandungan sebatian sulfur dalam bawang putih dan merah dapat membantu melawan keradangan dan kesakitan.
Tidak hanya itu, bawang putih dan merah turut berpotensi membantu rasa makanan supaya penggunaan natrium boleh dikurangkan.
Natrium dipercayai mampu menyebabkan tekanan darah tinggi dan artritis.
Sementara itu bawang merah juga merupakan sumber quercetin atau kimia tumbuhan serta prebiotik.
Probiotik diperlukan untuk menyerap nutrien dan disalurkan kepada sendi.
2. Halia
Halia merupakan makanan anti-radang yang sudah diguna pakai sejak ribuan tahun lalu.
Awalnya halia kerap digunakan bagi mengubat sakit perut dan gangguan pencernaan.
Halia juga dapat melegakan kesakitan sendi dengan menyekat beberapa gen dan enzim yang menggalakkan keradangan dan ketidakselesaan.
3. Ikan berlemak
Pengambilan ikan seperti salmon, sardin dan makarel baik untuk kesihatan sendi.
Selain kaya dengan asid lemak omega-3 yang dapat membantu mengurangkan kesakitan sendi.
Salmon merupakan sumber kalsium dan vitamin D yang sangat baik untuk mengekalkan kekuatan tulang.
4. Sayuran berdaun hijau
Sayuran hijau seperti bayam yang tinggi dengan nutrien seperti vitamin C, kalsium dan selenium.
Kandungan vitamin C yang ada berguna kerana boleh membantu menghalang sendi dengan mengekalkan fungsi tulang rawan.
Selenium pula dipercayai membantu sendi kerana sifat antioksidan yang melindungi kerosakan dan meningkatkan pertumbuhan sel.
5. Kunyit
Disifatkan sebagai makanan terbaik kerana memiliki sifat anti-radang yang tinggi.
Ekstrak kunyit mampu berfungsi seperti ibuprofen sekali gus meredakan kecederaan dan sakit lutut.
Jika di atas telah dinyatakan beberapa makanan boleh membantu memastikan sendi anda kekal sihat, apa kata teliti pula senarai makanan yang perlu dielakkan pengambilannya.
1. Keju dan produk tenusu tinggi lemak
Makanan seperti keju, mentega, krim keju, majerin dan mayonis antara produk berasaskan tenusu tinggi dengan kandungan lemak tepu.
Yogurt Greek merupakan pilihan terbaik kerana berfungsi sebagai anti radang dan baik untuk mereka yang mengalami alahan susu lembu.
2. Makanan berangin (solanaceae)
Sayuran berangin atau solanaceae seperti terung, lada, tomato dan kentang mengandungi solanin, glycoalkaloid yang berkaitan dengan tumbuhan tertentu.
Fungsi sayuran itu juga bertindak sebagai pertahanan semula jadi terhadap binatang herbivor dan serangga.
Solanin boleh menghasilkan reaksi bagi penghidap arthritis dengan merosakkan tindak balas fisiologi sehingga mengakibatkan keradangan.
3. Gula
Gula yang diproses menghasilkan cytokins iaitu sekumpulan glikoprotein, peptida dan protein yang berfungsi merangsang, mengawal keradangan, imuniti dan hematopoiesis badan.
Gula sebenarnya terdiri daripada pelbagai jenis, namun kebanyakan hanya melihat penggunaan manisan itu dalam makanan.
Terdapat juga nama lain seperti fruktosa, glukosa, sukrosa, laktosa, maltosa dan beberapa nama lain.
Pastikan pengambilan gula kurang bagi mengelakkan keradangan pada sendi.
4. Daging merah
Daging merah mengandungi tahap lemak tepu tinggi yang mampu mengakibatkan obesiti dan keradangan.
Mengandungi asid lemak omega-6 yang boleh menjejaskan sendi sekiranya pengambilan daging merah tidak dikawal.
5. Makanan proses dan bergoreng
Terdapat pelbagai makanan diproses seperti ayam goreng, nugget dan daging burger antara menu popular.
Bagaimanapun produk makanan begitu mengandngi garam, lemak dan bahan pengawet sehingga mengakibatkan keradangan dan sakit sendi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram