Dulu benci, sekarang jatuh cinta dengan maraton


  • Hobi
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Ben menyertai sukan larian maraton untuk mencabar diri memandangkan pada awal dia tidak begitu menyukainya.

MARATON membawa maksud satu perlumbaan yang melibatkan berjalan, larian biasa mahupun berlari-lari anak mengikut jarak ditetapkan.

Kebiasaannya aktiviti itu dilakukan sejauh 5 kilometer (km), 10km, 15km, 21km atau 41km.

Membuka sedikit lembaran sejarah, acara sukan ini dipercayai dimulai oleh tentera Yunani yang dipanggil Pheidippides pada 490 sebelum masihi dengan jarak 41km.

Sejak itu perkara tersebut terus diamalkan sehingga ke hari ini menjadi salah satu sukan kegemaran. Malah sebilangan daripada mereka menjadikannya sebagai hobi.

Begitu juga dengan Ben Mohd Rizdee Ben Banging, 41, yang menjadikan perkara tersebut sebagai salah satu aktiviti mengisi masa lapang.

majoriti2022 (5)

Katanya, dia mula jatuh cinta dengan sukan itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020.

“Terlalu lama terkurung di dalam rumah membuatkan saya berasa bosan dan ingin melakukan perkara baharu.

“Ketika kerajaan membenarkan aktiviti bersenam, larian dan berbasikal di luar rumah, saya mengambil peluang itu untuk melakukannya.

“Sejak itu saya mula joging dan melakukan aktiviti larian sehingga mewujudkan keyakinan untuk menyertai maraton,” katanya kepada Majoriti.

Dia yang mesra disapa sebagai Ben mengakui sudah memilki sekitar 15 pingat hasil daripada aktiviti maraton.

majoriti2022 (6)

Cabar diri

Pada awalnya, Ben memberitahu dia tidak pernah mempunyai keinginan untuk melakukan maraton sebelum ini.

Baginya perkara itu tidak masuk akal dan mustahil untuk dilakukan terutama larian maraton penuh (full marathon) iaitu sejauh 41km.

“Bagi saya orang gila saja yang sanggup buat macam itu. Namun, lama kelamaan saya berminat dan tertarik.

“Saya mula menyertai maraton dengan jarak dekat seperti 5km, 10km dan 15km. Setelah itu barulah saya meletakkan sasaran untuk menjangkau 21km dan 41km,” jelasnya.

Ben kemudian mencabar diri dengan menyertai Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon pada awal November lalu.

Ia merupakan kali pertama Ben menjinak-jinakkan diri dengan malakukan larian maraton penuh sejauh 41km.

Dia mengambil masa sekitar 5 jam untuk melengkapkan larian berbanding tempoh yang disarankan penganjur iaitu 7 jam.

“Memandangkan acara ini diadakan secara tahunan, saya meletakkan sasaran untuk menyempurnakan larian sekitar 4 jam 30 minit pada tahun depan.

"Saya turut mengharapkan dapat melakukan aktiviti ini pada masa akan datang tanpa mengalami sebarang gangguan kesihatan seperti kekejangan otot.

"SItuasi itu antara yang sering dialami oleh peserta sekiranya terlalu memaksa diri untuk melakukan pecutan atau terpengaruh dengan kelajuan larian peserta lain,” terangnya.

majoriti2022 (4)

Persediaan awal

Dalam pada menceritakan sasarannya, Ben turut berkongsi tentang persediaan yang perlu dilakukan sebelum menyertai maraton.

Sebaiknya sebelum memulakan larian, ambil makanan ringan seperti buah-buahan atau sayuran.

Elakkan juga, katanya, daripada mengambil makanan berat seperti nasi goreng, nasi lemak atau roti canai.

Jelasnya, pengambilan makanan sebegitu akan mengganggu larian kerana akan mudah berasa sakit perut atau muntah.

“Sebaiknya sebelum memulakan larian lakukan beberapa latihan terlebih dahulu. Namun, latihan itu perlu mengikut kemampuan dan sebaiknya jangan memaksa diri.

“Bimbang jika terlalu mamaksa akan menyebabkan kecederaan atau kekejangan kaki,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram