GEJALA seperti telinga berdesing, pening-pening, mual dan kehilangan keseimbangan antara tanda-tanda yang sering dikaitkan dengan vertigo.
Tidak dinafikan ada juga berpandangan vertigo itu merupakan nama penyakit, namun telahan itu nyata terpesong.
Menurut perkongsian hellosehat, vertigo merupakan kumpulan gejala yang mampu berlaku secara tiba-tiba atau berlangsung pada tempoh masa tertentu.
Harus diingatkan vertigo jarang menyerang kanak-kanak, namun itu tidak bermakna golongan itu terlepas. Terdapat juga beberapa kes terpencil apabila kanak-kanak juga mengalaminya.
Bagaimanapun situasi tersebut berbeza jika melibatkan individu berusia 20 tahun dan ke atas. Kumpulan seperti ini boleh dikatakan sebagai ‘sasaran’ vertigo sehinggakan boleh mengakibatkan kehilangan pendengaran.
Ketahui gejala
Vertigo merupakan kumpulan gangguan kesihatan antaranya, pening kepala, berasa persekitaran seperti berpusing, mual dan muntah.
Selain itu, kehilangan keseimbangan, kerap berpeluh berlebihan, sakit kepala, gerakan mata tidak normal dan telinga berdesing.
Gangguan kesihatan seperti itu sering berlaku pada bila-bila masa tanpa sebarang tanda-tanda awal. Namun, hanya berlangsung dalam tempoh masa tertentu seperti beberapa minit, jam atau hari.
Punca vertigo berlaku bergantung kepada jenis gangguan yang dialami. Secara umumnya, terdapat dua jenis vertigo iaitu Periferal dan Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV).
Vertigo Periferal
Vertigo jenis ini merupakan gejala yang sering dialami oleh kebanyakan orang. Antara tanda gangguan ini seperti kesukatan untuk mengatur keseimbangan badan.
Sebagai contoh, ketika ingin menggerakkan kepala, telinga akan mendapat isyarat untuk mengawal posisi kepala dan badan. Namun, jika berlaku masalah pada bahagian telinga, maka rasa sakit dan pening akan berlaku.
Hal ini kemungkinan berlaku kerana disebabkan jangkitan atau wujudnya radang pada telinga akibat virus.
Benign Paroxysmal Positional Vertigo (BPPV)
BPPV pula berlaku disebabkan vestibular telinga mengalami gangguan kerana perubahan posisi atau gerakan kepala secara tiba-tiba.
Memetik info myhealth.gov, vestibular merupakan keseimbangan pada telinga yang terdiri daripada salur separuh bulat dan organ otolith (saccule dan utricle).
— Agensi
Keadaan BPPV akan menjadi lebih parah sekiranya seseorang pernah melakukan pembedahan telinga, kecederaan, menjalani rawatan berehat di atas katil (bedrest) atau jangkitan kuman.
Sementara itu, turut dijelaskan BPPV berlaku disebabkan serpihan kristal kalsium karbonat yang pecah dari dinding saluran telinga dalam.
Apabila kedudukan kepala berubah secara tiba-tiba, kristal akan masuk ke dalam telinga yang mengandungi cecair keseimbangan.
Keadaan ini kebiasaannya berlaku dalam tempoh masa yang singkat dan sering dialami oleh mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas.
Apa itu vertigo pusat?
Berbeza dengan vertigo periferal yang disebabkan oleh gangguan pada telinga dan keseimbangan otak.
Vertigo pusat pula berlaku kerana masalah pada otak dan situasi ini sering terjadi di bahagian serebelum dan serebrum otak.
Antara tanda yang boleh terjadinya perkara itu seperti migrain iaitu sakit kepala sebelah dan disertai dengan rasa berdenyut.
Seterusnya multiple sclerosis atau sklerosis berbilang. Perkara ini melibatkan gangguan isyarat saraf yang berlaku pada sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang. Sekiranya perkara ini berlanjutan, ia akan mengakibatkan gangguan kepada sistem imun seseorang.
Terdapat beberapa jenis cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada mengalami gangguan vertigo, antaranya:
Ujian kepala
Pesakit akan diminta fokus melihat hujung hidung doktor sambil kepalanya digerakkan dengan pantas ke sebelah.
Sekiranya mata pesakit kekal fokus pada hujung hidung semasa pergerakan itu bermaksud negatif dan bukan vertigo.
Tes romberg
Pesakit diminta berdiri dengan kaki dirapatkan dan mata terbuka. Kemudian mata akan ditutup untuk beberapa saat sambil berdiri.
Sekiranya individu terbabit hilang keseimbangan atau jatuh selepas matanya ditutup, itu bermaksud pesakit berkenaan positif.
Tes unterberger
Berdiri dengan kedua-dua kaki lurus ke hadapan dan berjalan di tempatnya dengan mengangkat sebelah lutut setinggi mungkin selama 30 saat dengan mata tertutup.
Sekiranya badan cenderung untuk jatuh, berkemungkinan ada gangguan keseimbangan dan positif vertigo.
Rawatan
Sekiranya mengalami sebarang simptom cuba dapatkan rawatan pakar. Sebaiknya bersikap jujur dan memberitahu sama ada mengalami kecederaan lampau termasuk pengambilan ubat-ubatan.
Selain itu terdapat juga beberapa cara lain yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Mengamalkan makanan diet seimbang antara yang dapat membantu mengurangkan risiko vertigo.
Antaranya hadkan pengambilan garam atau ubat diuretik (agen meningkatkan pengeluaran air kencing).
Kurangkan mengambilan kafein, coklat, alkohol dan rokok.
Lakukan fisioterapi bagi mengatasi gangguan keseimbangan badan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram