'Lagi tinggi jawatan, lebih banyak khianat', rakyat perlu waspada tipu helah pemimpin akhir zaman


  • Mukmin
  • Rabu, 23 Nov 2022

Cabaran sebagai pemimpin di zaman yang penuh mencabar ini memerlukan kekuatan iman dan kesabaran tinggi.

PENGURUSAN dalam pentadbiran sesebuah kerajaan penting bagi pembangunan agar dapat bersaing dengan barisan negara maju lain sekali gus mencapai kemakmuran.

Disebabkan itu pemilihan pemimpin perlu tepat agar mampu mengurus negara dan membentuk perpaduan bangsa dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun kehidupan yang penuh dengan cabaran dan pengaruh nafsu membuatkan seseorang itu mudah terpesong daripada landasan sehingga sanggup 'membutakan' mata kepada perkara haram dan halal.

Menerusi potongan video ceramah Ustaz Wadi Annuar yang disunting dan dimuat naik ke YouTube, pendakwah popular itu bercakap tentang pemimpin akhir zaman.

Memetik rakaman, semakin dekat dengan kedatangan dajal, umat manusia akan melihat dalam kehidupan masyarakat penuh penipuan yang begitu banyak.

Oleh itu, masyarakat dinasihat agar waspada dan bijak dalam membuat keputusan agar tidak tersilap langkah sehingga menyebabkan kegagalan pengurusan.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ”Dekat-dekat dengan kedatangan dajal, kalian akan melihat dalam kehidupan masyarakat penipuan yang begitu banyak. Pertama tanda yang keluar, tanda besar kiamat apabila kalian melihat kesemua tanda kecil sudah berlaku. Kedua apabila kalian melihat di dalam masyarakat penipuan itu begitu banyak.”

"Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat.” (HR Ibnu Majah)

Melihat kepada itu, Wadi Annuar menyifatkan situasi tersebut seperti mana yang berlaku pada zaman sekarang.

majoriti2022 (7)

Wadi Annuar kemudian menyambung ceramahnya dengan penuh kebimbangan agar masyarakat membuka mata dalam menentukan pemimpin.

“Lagi tinggi jawatan lagi banyak yang disapu, negara mana kita tidak tahu, tetapi Nabi SAW sebut, lagi tinggi jawatan dia lagi banyak yang dia ambil, yang dia khianat,” jelas Wadi Annuar.

Melihat kepada mesej yang disampaikan harap dapat dijadikan pedoman buat pemimpin negara, tetapi turut melibatkan kepimpinan di organisasi syarikat.

Memegang tanggungjawab sebagai ketua bukan mudah kerana tidak hanya perlu menguruskan pentadbiran, tetapi perlu mempunyai ciri-ciri yang boleh dicontohi dan diteladani semua.

Semoga pemimpin yang menyandang jawatan berkenaan tidak hanya berlaku adil sesama mereka, tetapi turut menjalankan amanah dengan saksama dan bijaksana. — YouTube

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram