[VIDEO] Nyaris terperangkap, warga emas uzur panik rumah dinaiki air di Pengkalan Hulu, mujur ada orang kampung


  • Tular
  • Khamis, 17 Nov 2022

Tangkap layar pasangan warga emas yang dibantu oleh penduduk kampung ketika banjir di Pengkalan Hulu, Perak.

KEADAAN hujan lebat mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air sekali gus berhadapan dengan bencana banjir.

Situasi itu tentu sahaja mencemaskan penduduk setempat khususnya bagi mereka yang tidak melakukan sebarang persediaan.

Perkara sama turut berlaku kepada pasangan warga emas di Pengkalan Hulu, Perak baru-baru ini yang berhadapan dengan kejadian banjir.

Difahamkan perkara tersebut berlaku sekitar tengah malam apabila paras air melimpah semakin meningkat.

Berdasarkan satu rakaman yang tular di TikTok, warga emas berkenaan dilihat cemas dan terpinga-pinga berhadapan dengan situasi itu.

Kekecohan berlaku apabila apabila pasangan itu tidak membuka pintu ketika orang kampung mahu membantu mereka.

Bagaimanapun salah seorang warga emas terbabit akhirnya membuka pintu bagi membolehkan penduduk kampung bertindak pantas menyelamatkan mereka.

Keadaan air yang masuk ke dalam rumah pasangan itu Psudah mencecah paras lutut.

Warga emas terbabit turut kelihatan uzur dan memerlukan bantuan untuk bergerak terutama dalam keadaan sebegitu.

Dalam pada itu, pengguna media sosial turut meluahkan rasa simpati dan kebimbangan terhadap keadaan pasangan warga emas itu memandangkan mereka dipercayai hanya tinggal berdua sahaja.

“Faham orang panik. Tetapi orang tua kena slow talk. Apa-apa pun semoga semua terlibat selamat,” kata emakemak.

“Kasihan orang tua nanti terkejut. Semoga dipermudahkan urusan keluarga,” kata Hanji.

“Ikutkan musim sekarang ini Pantai Timur yang alami banjir. Tetapi sekarang, negeri yang tidak mengalami banjir sudah terjadi banjir. Di Terengganu, Pahang dan Kelantan masih belum terjadi banjir,” kata Mas Azida78.

Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh akan bermula 7 November dan berlarutan sehingga Mac 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram