Kaum Adam perlu peka, 3 tip hindari kanser prostat


  • Sihat
  • Ahad, 13 Nov 2022

Ramai golongan lelaki yang menghidap kanser prostat tidak mempunyai sebarang gejala.

BERSEMPENA bulan kesedaran lelaki pada November, adalah penting untuk memberi kesedaran awal dan pendidikan kepada kaum Adam mengenai kanser prostat.

Ini kerana, masih ramai golongan lelaki di luar sana yang mengabaikan penyakit ini.

Tahukah anda, sebenarnya kanser prostat merupakan pembunuh senyap dalam kalangan lelaki?

Pakar Perunding Urologi SMCV, Datuk Dr. Selvalingam Sothilingam berkata, kanser prostat sering dikelirukan dengan hyperplasia prostat benigna (BPH) iaitu keadaan bengkak prostat yang selalu terjadi dalam kalangan lelaki berusia.

"Kanser ini boleh wujud tanpa sebarang simptom dan terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebagai faktor risiko.

"Antaranya ialah lelaki yang mempunyai sejarah keluarga penghidap kanser prostat atau barah payudara selain lelaki berumur 50 tahun ke atas," katanya kepada Majoriti.

1361424

Pakar Perunding Urologi SMCV, Datuk Dr. Selvalingam Sothilingam

Mengulas lanjut, Selvalingam berkata, bagi individu yang menghidap kanser prostat, ia boleh menjadi satu tempoh mencabar kerana melibatkan emosi yang menyebabkan mereka lebih sensitif.

Sehubungan itu, pesakit boleh mendapatkan bantuan kaunseling untuk membantu mereka melalui tempoh ini.

“Terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Kanser Prostat Malaysia (PCSM) terdiri daripada bekas pesakit kanser yang boleh memberikan kata-kata nasihat serta semangat kepada pesakit baharu kerana mereka pernah berada di tempat sama.

"PCSM juga menyediakan kumpulan sokongan di pelbagai hospital untuk membantu mengurangkan kebimbangan para pesakit yang baru didiagnosis," katanya.

1787478

Doktor Residen, Klinik Khalifah Vista Bangi, Dr Muhammad Taufik Ibrahim

Sementara itu, Doktor Residen, Klinik Khalifah Vista Bangi, Dr Muhammad Taufik Ibrahim berkata, kanser prostat adalah ketumbuhan berbahaya (malignan) yang berlaku kepada kelenjar prostat.

"Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan satu daripada lapan lelaki akan didiagnosis dengan kanser prostat.

"Meskipun penyakit ini merupakan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di negara ini, tetapi ia masih boleh dirawat sekiranya dapat dikesan dan dirawat sejak peringkat awal.

"Buat masa ini, tiada langkah pencegahan yang terbukti berkesan untuk kanser in namun kita mungkin boleh mengurangkan risiko kanser dengan memilih diet seimbang dan melakukan senaman," katanya kepada Majoriti.

Berikut tiga tip yang dikongsikan doktor untuk mengurangkan risiko kanser prostat:

1. Memilih diet seimbang

- Mengurangkan makanan yang mempunyai kandungan lemak tinggi

- Melebihkan pengambilan sayur -sayuran dan buah buahan

- Mengurangkan pengambilan produk tenusu (susu, keju dan yogurt)

2. Mengekalkan berat badan ideal

- BMI melebihi 30 akan meningkatkan risiko kanser prostat

- Melakukan senaman sekurang-kurangnya 10 minit sehari

- Sentiasa mengekalkan gaya hidup aktif

3. Selalu melakukan pemeriksaan kesihatan awal untuk mengurangkan risiko kanser prostat

- Membuat janji temu dengan doktor secara berkala

- Kongsi kerisauan utama dan masalah kesihatan

- Dapatkan nasihat doktor jika ada simptom berkaitan Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram