Cepat melenting, sedih dan cemas antara simptom kaum lelaki berdepan masalah kesihatan mental


  • Sihat
  • Ahad, 06 Nov 2022

Bersikap berdiam dan memendam rasa boleh memberi kesan kepada kesihatan mental pada kaum Adam.

KESIHATAN mental dan emosi sama penting dengan kesihatan fizikal kerana ia turut menyumbang kepada kesejahteraan seseorang secara menyeluruh.

Bersempena dengan bulan kesedaran kesihatan lelaki pada bulan November ini, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) meminta kaum lelaki untuk mengutamakan kesihatan mereka tanpa mengira betapa mencabarnya untuk berbuat sedemikian.

Kebanyakan lelaki sukar berkongsi masalah berkaitan kesihatan fizikal dan mental kerana mereka merupakan pencari nafkah utama untuk keluarga sekali gus menyebabkan sering mengabaikan sebarang penyakit yang dialami dan seterusnya menyebabkan tahap kesihatan mereka semakin merudum.

Malah, sebuah laporan daripada Frontiers in Psychiatry mendedahkan kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki meningkat secara ketara di antara tahun 2014 dan 2019.

SMCV_Dr Celine Chan Tze Lin

Dr Celine Chan Tze Lin berkata adalah amat penting untuk kaum Adam mempunyai sistem sokongan kuat kerana ia mempunyai banyak faedah positif.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri SMCV, Dr Celine Chan Tze Lin berkata, kebanyakan lelaki yang sukar meluahkan secara terbuka emosi mereka turut berdepan masalah mengenal pasti simptom kesihatan mental.

"Justeru, mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan sokongan dan bantuan orang lain yang rapat.

"Antara tanda ahli keluarga atau rakan anda yang mungkin mengalami masalah mental dan memerlukan bantuan ialah individu berkenaan akan selalu berasa sedih, cemas dan bimbang," kata Celine.

Celine berkata, golongan lelaki juga akan menjadi seorang yang cepat melenting, mengalami masalah tidur, tidak lagi berminat dengan hobi mereka.

"Apabila perasaan ini menjadi semakin kuat dan berlarutan untuk tempoh lama, ia sekali gus akan mula menganggu prestasi kerja dan hubungan. Selain itu, ia mungkin petanda masalah kesihatan mental," katanya dalam satu kenyataan kepada Majoriti.

Meluahkan perasaan pada orang yang boleh dipercayai dapat membantu atasi masalah kesihatan mental

Meluahkan perasaan pada orang yang boleh dipercayai dapat membantu atasi masalah kesihatan mental. — Gambar Agensi

Tambah Celine, adalah amat penting untuk individu berkenaan mempunyai sistem sokongan kuat kerana ia mempunyai banyak faedah positif, termasuklah kemahiran kawalan diri atau coping skills yang lebih baik, mengurangkan kemurungan serta kebimbangan dan tekanan.

“Tanpa sistem sokongan yang kuat, kaum Adam berkemungkinan akan menggunakan kaedah kawalan diri tidak sihat serta tidak bercakap tentang kesihatan mental kepada ahli keluarga atau kawan-kawan.

"Salah satu cara untuk meyakinkan lebih ramai lelaki untuk mendapatkan bantuan ialah membuatkan mereka faham bahawa tidak menjadi masalah untuk mendapatkan bantuan serta bercakap dengan seseorang yang dipercayai," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram