Tak sempat jemput di pusat tahfiz, 3 beradik mati tersepit Kancil terbabas di LPT


  • 112
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Keadaan kereta mangsa nahas kemalangan di LPT pada pagi Sabtu. — Bernama

TIGA maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas di Kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) arah barat, di Maran, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mereka yang maut ialah dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa, namun identiti mereka masih belum diketahui.

"Bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada 8.10 pagi dan setiba di lokasi kejadian, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dengan dua daripada mangsa yang maut tersepit di dalam kenderaan itu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Ismail berkata, jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan dibawa ke Hospital Jengka, Maran, Kuantan, Pahang untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Norzamri Abd Rahman mengesahkan kesemua mangsa adalah adik-beradik.

Beliau berkata, mereka yang maut ialah pemandu kereta, Siti Fatimah Yusry, 20, abangnya Ahmad Basyir, 27, dan Saiedah, 15, manakala seorang lagi adik mereka Adawiyah, 11, parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh.

"Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi (Sabtu) selepas kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Norzamri berkata, kesemua mereka yang beralamat di Kulai, Johor sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di negeri itu selepas menjemput seorang lagi adik mereka, Nurul Syafiqah, 18, yang belajar di pusat tahfiz di Jerantut.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Nurul Syafiqah berkata, dia berasa pelik apabila bapa saudaranya yang 'muncul' di pusat tahfiznya di Jerantut kerana sepatutnya adik-beradiknya yang akan datang mengambil, sebelum diberitahu mengenai berita buruk itu oleh bapa saudaranya.

"Saya menghubungi keluarga Sabtu minggu lepas untuk meminta dijemput hari ini (Sabtu). Sejak pagi saya sudah bersiap menanti kehadiran kakak dan abang, tetapi tiba-tiba pak cik yang sampai pada pukul 10 pagi dan beritahu mereka sudah tiada," katanya semasa ditemui di pekarangan Unit Forensik di Hospital Jengka.

Nurul Syafiqah berkata, jenazah Ahmad Basyir, Siti Fatimah dan Saiedah yang masing-masing anak kedua, lima dan tujuh daripada lapan beradik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 11 sebaik urusan bedah siasat selesai, kerana mereka pernah menetap di tanah rancangan itu sebelum berpindah ke Kulai.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Muhatair Muhammad, 40, menyifatkan semua anak saudaranya itu sebagai anak yang baik dan sangat rapat antara satu sama lain, dan kali terakhir mereka bertemu tiga hari lepas.

"Saya ke rumah mereka di Kulai dan sempat membawa Saiedah serta Adawiyah berjalan-jalan...semasa itu, mereka ada memberitahu tak sabar nak ke Jerantut bagi mengambil Nurul Syafiqah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, LPT1, maut, polis, mangsa