'Mama' sanggup gadai emas, kerah keringat demi anak-anak jagaan PERNIM


Pengasas PERNIM itu tidak pernah membiarkan cabaran melunturkan semangatnya sejak sekian lama. — Facebook/Norlina Alawi

SESETENGAH daripada masyarakat hari ini pasti pernah mendengar mengenai Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) yang berpangkalan di Kampung Cheras Baru, Cheras, Kuala Lumpur.

Namun, tidak semua daripada kita mengetahui siapakah tulang belakang di sebalik penubuhan persatuan itu dan apakah tujuan yang mendorong inisiatif murni itu diadakan?

Norlina Alawi, yang juga dikenali sebagai 'Mama' merupakan pengasas rumah kebajikan itu selepas dia kira-kira 21 tahun lalu membuat keputusan untuk mengambil anak angkat daripada seorang kenalan.

"Alhamdulillah, Mama sudah mula menjaga anak angkat pada 2001 bertitik tolak apabila Mama membantu adik kepada salah seorang kawan yang berstatus Orang Kurang Upaya Bisu.

"Ketika itu, dia mengandung dan tiada siapa yang sanggup untuk menjaganya. Jadi, Mama ambil keputusan untuk menjaganya sehingga dia melahirkan anak, tetapi Mama memang tahu bahawa dia penghidap HIV sebelum mengandung," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas lahir rasa kasihan terhadap wanita tersebut walaupun dia sendiri mengakui bahawa sumber kewangannya tidaklah menjadikannya seorang yang berada.

Bagaimanapun, masalah turut timbul selepas bayi wanita berkenaan dilahirkan kerana kesukaran untuk mencari penjaga dengan stigma masyarakat yang serong terhadap penghidap penyakit itu.

308662523_461936639311144_7555959221186978051_n

Keluarga besar Norlina Alawi bersama anak kandung dan anak angkatnya. Facebook/PERNIM & KBNAB

"Jadi, Mama nekad untuk meminta izin dengan suami ketika itu untuk menyusukan bayi itu selepas hampir dua minggu berada di bawah jagaan," katanya.

Sejak itu, wanita cekal tersebut tidak lagi menoleh ke belakang apabila hasratnya untuk membantu anak tidak bersalah diteruskan dengan memberi pelindungan kepada mereka.

Selain menjadikan zuriat kepada pesakit HIV dan AIDS, pertubuhan itu juga terbuka untuk menjaga kanak-kanak terbiar, tidak sah taraf dan wanita teranaiya.

Tambah Norlina, cabaran yang dihadapi sepanjang menubuhkan rumah kebajikan itu tidak pernah melunturkan semangatnya meskipun terpaksa menggadaikan harta persendirian.

"Sejak dahulu lagi, sebelum menjaga ramai anak angkat, Mama memang ada melakukan perniagaan katering sehingga hari ini dan Mama memang berniaga seperti ibu bapa yang lain.

"Cuma, bezanya, anak Mama ramai dan Mama memang tidak mudah mengaku kalah. Maksudnya, Mama buat apa yang Mama mampu dan jika tiada duit, gadaikan barang emas," katanya.

Di samping itu, wanita berusia 51 tahun itu juga sempat berkongsi bagaimana dia turut berdepan cabaran apabila badan-badan kebajikan cuba untuk mengambil hak penjagaan itu.

"Mama sudah menjaga anak angkat sudah hampir 21 tahun. Dahulu, ada persaingan dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba merampas anak-anak yang dijaga.

"Apabila Mama menjaga anak-anak angkat hasil daripada ibu bapa penghidap HIV atau AIDS, tidak semua daripada mereka adalah penghidap dan mungkin tujuh ke lapan orang sahaja yang mempunyai penyakit itu," katanya.

Jelasnya, berikutan masalah kesihatan itu, dua daripada mereka meninggal dunia ketika berada di bawah jagaannya, sekali gus dijadikan alasan segelintir pihak untuk merampas kanak-kanak lain.

Namun, tekad dan kesungguhannya untuk menjaga golongan tidak bersalah itu membuahkan hasil dengan ramai daripadanya mampu mendirikan rumah tangga dan kehidupan tersendiri.

Setakat ini, Norlina sudah mempunyai puluhan anak angkat dengan rata-rata daripada mereka berjaya membuktikan kesungguhan ibu angkat mereka bukanlah satu usaha sia-sia.

Di samping itu, dalam usaha menanam semangat dan kesungguhan sepertinya dalam masyarakat, Norlina turut berusaha menerbitkan sebuah buku bertajuk Aku Seorang Norlina Alawi - Dua Dekad Perjuangan Cinta Tanpa Sempadan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram