'Tangan panas' bukan penghalang suami isteri bina 'pasar' tepi rumah


Rania dan Idriz membantu ibu mereka memotong sayur yang dipetik dari halaman rumah.

BAGI Zarah Mokhlis, dia sudah jarang ke pasar untuk membeli sayur-sayuran. Ini kerana, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, dia dan keluarganya mengambil inisiatif menanam sayur-sayuran sendiri.

Sebelum memasak, apa yang perlu dilakukan oleh ibu kepada tiga anak itu ialah hanya berjalan keluar ke kebun di halaman rumah dan mengambil sayur yang sedia dituai.

Zarah memiliki lebih 12 jenis sayur-sayuran yang ditanam di kebunnya daripada sayur-sayuran berdaun hijau seperti sawi, kangkung dan salad hingga timun serta bendi.

Wanita berusia 44 tahun itu juga menanam pelbagai jenis herba seperti ketumbar, pudina dan limau purut yang tumbuh subur di dalam kotak tanaman.

“Kami menanam sayur-sayuran di kebun ini sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020. Sejak itu, saya hanya ke pasar untuk membeli sayur import seperti daun saderi, brokoli dan kubis bunga," katanya.

Muhammad Malik (right) helps Ahmad to erect trellises for creeping plants.

Ahmad Fairoz ditemani anaknya membuat kisi-kisi untuk tumbuhan menjalar.

Suri rumah tangga itu mengusahakan kebun bersama keluarganya di rumah mereka di Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur.

Dia dan suaminya, Ahmad Fairoz Zainudin, 45, memanfaatkan halaman yang terhad berkeluasan kira-kira 63 meter persegi untuk dijadikan ruang kebun kepada pelbagai sayur-sayuran untuk kegunaan keluarga mereka.

Apa yang menarik, mereka juga mengitar semula botol air mineral untuk menanam cili dan terung.

Tali rafia pula digunakan untuk tanaman tembikai. Kangkung pula tumbuh subur dalam kotak tanaman yang tersusun rapi di tepi pagar manakala struktur kisi-kisi untuk tumbuhan menjalar seperti kacang botol dan timun.

Zarah berkata, tanaman sayur-sayuran di kebun itu membantu keluarganya berjimat-cermat dalam perbelanjaan barang dapur.

Selain itu, mereka sekeluarga dapat menikmati sayur-sayuran yang bebas bahan kimia.

“Perbelanjaan sayur-sayuran bulanan saya menurun dengan ketara iaitu kira-kira 50 peratus. Saya hanya membelanjakan kira-kira RM30 sebulan untuk sayur-sayuran import.

"Saya menggalakkan anak-anak makan sayur-sayuran dari kebun kerana ia berkhasiat, segar dan tidak mengandungi racun perosak,” katanya.

Watermelons are relatively easy to grow, with hot weather and space to sprawl.

Tali rafia diubah suai untuk menampung buah tembikai.

Bercerita lanjut, Zarah memberitahu, dia sebenarnya tidak pernah berminat untuk berkebun sehinggalah Covid-19 melanda.

“Apabila kami berpindah ke kawasan kejiranan ini pada 2006, tiada tanaman di halaman rumah kecuali dua pokok palma sebagai tanaman hiasan.

"Saya rasa berkebun susah dan tak pernah berminat mengusahakan apa-apa tanaman kerana saya tiada green fingers (tangan panas), jadi takut tanaman tak menjadi,” jelas Zarah.

Bagaimanapun keadaan berubah semasa PKP. Sepanjang tempoh duduk di rumah, Zarah dan suaminya mengenali jiran-jiran yang terlibat dalam taman komuniti kawasan perumahan mereka.

“Taman komuniti kami cukup aktif. Ramai jiran berkumpul untuk menanam pelbagai jenis sayur di atas sebidang tanah kosong.

"Mereka berbesar hati untuk mengajar sesiapa yang berminat menanam sayur-sayuran selain berkongsi hasil tanaman dengan jiran-jiran lain," katanya yang turut menggalakkan anak bongsu, Muhammad Idriz, 10, mengusahakan kebun tersebut.

Gardening helps Muhammad Idriz develop new skills and learn about nature.

Berkebun mengajar kanak-kanak kemahiran baharu selain mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Zarah dan Ahmad Fairoz menambah pengetahuan mereka tentang tananam sayur-sayuran dengan melayari internet dan menonton video tutorial di YouTube.

“Internet adalah sumber maklumat yang sangat baik. Dalam masa yang singkat, kami menemui banyak artikel tentang faedah sayur-sayuran yang ditanam sendiri.

“Terdapat banyak tutorial cara menanam sayur-sayuran berdaun dan tumbuhan menjalar di platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan Facebook,” kata Zarah.

Mereka kemudian mula membeli anak benih dan kotak tanaman dari tapak semaian tumbuhan dan platform online.

Ahmad Fairoz yang gemar membina dan mengubah suai barang, mula membuat kisi-kisi untuk tumbuhan menjalar. Dia juga mencipta sistem tuaian air dan membuat kompos daripada sisa dapur.

Muhammad Idriz is proud of his harvest.

Idriz menunjukkan tanaman kangkung yang diusahakan di halaman rumah.

Lama kelamaan, dua lagi anak mereka, Muhammad Malik, 16, dan Rania Yasmin, 14, turut menunjukkan minat berkebun. Mereka diberikan tugasan mudah seperti menanam benih dalam botol air mineral dan kotak tanaman.

“Malik dan Rania ditugaskan menyemai anak benih dalam bekas boleh guna semula seperti cawan kopi manakala Idriz ditugaskan menyiram tanaman.

"Selepas beberapa minggu, kami sudah boleh menuai kangkung, sawi dan cili. Mereka sangat teruja kerana tidak pernah menyangka akan menanam sayur-sayuran di taman kami.

"Saya juga tak sangka secara tidak langsung, saya memupuk minat berkebun dalam diri anak-anak.

"Seperti Idriz, dia sangat suka tanam kangkung dan kami ada bekalan berterusan dari kebun. Kami sentiasa berkongsi hasil tuaian sayur-sayuran dengan jiran dan ahli keluarga. Malah, ayah saya bergurau kata kami boleh membuka pasar sayur di rumah,” katanya.

Zarah berkata, berkebun juga mengajar anak-anaknya kemahiran baharu selain mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Menurutnya, mereka lebih gembira menghabiskan masa di taman daripada bermain gajet.

“Mereka juga belajar banyak perkara lain seperti kitar semula, pengkomposan dan penuaian air.

“Berkebun membantu kami mengeratkan hubungan sebagai sebuah keluarga. Paling penting, ia turut mengajar anak-anak sikap tanggungjawab kerana mereka perlu menjaga tanaman mereka," katanya.

Gardening helps Zarah bond with Rania.

Zarah berharap usahanya itu memberi inspirasi kepada orang lain untuk memulakan aktiviti berkebun.

Kebun Zarah sekeluarga meraih populariti tersendiri di kawasan kejiranan mereka hingga ada penduduk di situ yang singgah untuk memberi pokok, baja organik dan anak benih.

"Rumah saya terletak di lot paling hujung dan di sebelahnya ialah laluan ke taman permainan. Jadi, sesiapa yang melaluinya pasti akan menegur tumbuh-tumbuhan di kebun kami," ujarnya.

Zarah berkata, dia berharap usahanya itu memberi inspirasi kepada orang lain untuk memulakan aktiviti berkebun.

"Sebenarnya berkebun tak susah pun. Saya rasa ramai yang mampu menanam sayur-sayuran, tumbuhan hiasan atau pokok bunga.

"Kita cuma perlukan bimbingan yang betul. Saya bertuah kerana ada jiran yang memberi tunjuk ajar cara yang betul untuk berkebun,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram