KIRA-KIRA 20 tahun lalu, negara dikejutkan apabila seorang lelaki bertindak menyerang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan, Sekinchan, Selangor dengan bersenjatakan parang.
Insiden tersebut menyaksikan beberapa murid dan kakitangan sekolah cedera, namun tiada nyawa melayang selepas pihak berkuasa berjaya menahan individu berkenaan.
Bagaimanapun, di sebalik kekecohan yang berlaku itu, seorang guru tampil menjadi wirawati dalam memastikan anak muridnya selamat daripada amukan itu.
Dia ialah Norzah Abdul Ghani, seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang tidak memikir nasib diri demi keselamatan orang lain, lebih-lebih lagi seseorang yang disayangi.
Walaupun sudah bertahun-tahun tragedi itu berlaku, perkara tersebut masih segar di fikirannya, lebih-lebih lagi apabila dia berasakan terdapat satu hubungan akrab antara dia dan 'anak-anak' kesayangannya itu.
"Masih ingat kerana di sekolah itulah saya dan anak murid murid sangat rapat, dan apabila teringat semula, saya rasa saya boleh bertindak lebih awal agar tidak ada yang tercedera," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, dia perlu berfikiran satu langkah ke hadapan dalam memastikan tiada perkara lebih berlaku dengan 'membaca' gerak-geri dan niat suspek.
Keberanian Norzah (berdiri, tiga dari kiri) diiktiraf MyHero Award. — Facebook/MyHero Award
Ketika kejadian, dia yang berada di salah satu bangunan sekolah bergegas ke perkarangan selepas terdengar jeritan meminta tolong sebelum melihat lelaki tersebut secara tiba-tiba membakar motosikal dan menyerang murid-murid.
"Situasi ketika itu genting dan saya tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan kesan daripada tindakan saya apabila sekumpulan pelajar diselubungi ketakutan.
"Saya berdiri antara individu tersebut dan anak murid saya sambil cuba untuk menenangkannya dan membawa ke kantin yang ketika itu tiada sesiapa," katanya.
Tindakan berani itu jelas membuahkan hasil apabila ia memudahkan pihak polis menahan suspek tersebut selepas dipujuk untuk menyerahkan senjatanya itu.
Meskipun sudah hampir berpuluh tahun kejadian tersebut berlaku, keberanian Norzah akhirnya diiktiraf apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MyHero Award menyanjung sumbangan guru berkenaan.
"Anugerah tersebut tidak mengubah apa-apa dalam hidup saya, namun ia mengeratkan lagi hubungan saya dan anak murid selain cerita ini akan diceritakan semula kepada 'cucu-cucu' saya yang berbilang bangsa dan agama," katanya.
Norzah bersama salah seorang muridnya yang kini bergelar seorang doktor. — Norzah Abd Ghani
Penghargaan yang diterima pada 2019 itu diberikan selepas kisah dan perkongsian Norzah disiarkan menerusi media sosial dan berjaya menarik hati orang ramai.
Ketika ini, Norzah sudah tidak bergelar tenaga pengajar selepas pernah berkhidmat di Kementerian Pendidikan, Putrajaya setelah menamatkan pengajian di salah sebuah institusi pengajian tempatan.
Selain itu, dia juga berjaya memperkenalkan satu kelas motivasi dengan menjadikan komedi dan gelak tawa sebagai sebuah pendekatan dalam menanam motivasi kepada masyarakat.
"Selepas mengajar, saya bertugas di kementerian sebagai Ketua Penolong Pengarah di Kementerian Pelajaran dan memilih 'bersara pilihan' pada usia 54 tahun.
"Saya menguruskan sebuah konsultan 'MindRevolution' bersama adik saya. Kami memberi motivasi, kemahiran psikologi dan terapi psikologi. Saya juga seorang Laughter Yoga Teacher & 'Laughter Ambassador' yang melaksanakan Terapi Ketawa (Laughter Yoga)," katanya.
Meskipun kisah Norzah tidaklah menerima liputan besar di seluruh negara, jasa dan pengorbanannya ketika insiden mendebarkan itu pasti kekal dalam ingatan murid-muridnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram