Kontroversi penceramah Maghribi: Jangan cemarkan kemuliaan Nabi Muhammad SAW


  • Massa
  • Khamis, 13 Okt 2022

Kenyataan meragukan oleh seorang lelaki warga Maghribi yang mendakwa dirinya waris keturunan Rasulullah.

PIHAK yang ingin menganjur majlis dakwah atau ceramah agama yang melibatkan individu luar negara, hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebebaran pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Negeri di samping jaminan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, tiada bantahan umat Islam di negara ini untuk mengadakan ceramah dalam majlis yang diadakan bagi menyambut hari kelahiran Rasul yang mulia, Nabi Muhammad SAW.

Katanya, mengadakan majlis ilmu berbentuk kerohanian amat digalakkan lebih-lebih melibatkan tokoh Islam.

“Cuma kita minta penganjur agar memastikan individu yang dijemput tidak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara.

“Justeru diharapkan mana-mana pihak yang ingin menganjur ceramah agama melibatkan orang luar negara hendaklah mendapat kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu,” katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang lelaki mengatakan dirinya sebagai keturunan Rasullullah SAW baru-baru ini.

majoriti2022 (2)

Wan Salim Wan Mohd Noor

Dalam pada itu, Wan Salim turut mengingatkan agar masyarakat Islam di tempatan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan mana-mana individu sebagai waris Rasulullah untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Kita bimbang kemurahan hati umat Islam Malaysia dan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad dan keturunan Baginda dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Bimbang mereka mempunyai kepentingan diri atau kumpulan tertentu yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kebaikan masyarakat Islam.

“Penipuan boleh berlaku dalam pelbagai cara termasuk dakwaan palsu sebagai berketurunan Rasulullah SAW,” jelasnya.

Terdahulu seorang warganegara Maghribi dikenali sebagai Mawla Muhammad Amin al-Idrisi a-Hasani dibawa masuk oleh pihak tertentu ke Malaysia untuk menyampaikan ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul yang lalu.

Bagaimanapun, siri jelajah ceramah tersebut di beberapa negeri dibatalkan kerana didakwa terdapat keraguan terhadap dakwaannya bahawa dirinya sebagai generasi ke-38 keturunan Rasulullah SAW.

Dia mendakwa kononnya berketurunan Rasulullah menerusi susur galur Sayyidina Hasan Putra Sayyidina ‘Ali bin Abi Talib adalah meragukan.

Namun di Pulau Pinang, majlis ceramah lelaki terbabit didakwa tetap diadakan di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram