Semakin beriman seseorang, semakin besar godaan syaitan — Mufti


  • Massa
  • Khamis, 13 Okt 2022

Tokoh agamawan diharapkan mampu mengelakkan diri daripada terlibat dengan kes jenayah. — Gambar hiasan

BERGELAR tokoh agamawan bukan bererti seseorang itu maksum dan bebas daripada melakukan sebarang kesalahan.

Menurut Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron, manusia memiliki sifat yang mampu berubah-ubah sama ada menjadi baik kepada jahat atau sebaliknya.

“Tiada istilah kebal mahupun bebas daripada melakukan dosa kerana status seseorang itu bukan cerminan sebenar.

“Manusia tidak sempurna dan tiada manusia yang sempurna sepenuhnya di muka bumi ini. Melakukan kebaikan pada satu masa bukan bererti individu itu baik dalam semua benda.

“Semakin beriman seseorang, maka semakin besar dan berat godaan syaitan ke atasnya. Pendakwah juga bukan selalunya baik sepanjang masa kerana kita ini manusia biasa yang kadangkala tidak terlepas daripada berbuat salah,” katanya kepada Majoriti.

ezgif-1-d388ffbe59

Mohamad Sabri

Mohamad Sabri memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai beberapa kejadian jenayah mengaitkan pendakwah sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, meskipun perkara itu berlaku dalam kelompok kecil, namun setiap daripada harus sentiasa berwaspada biarpun bergelar pendakwah.

Katanya, semua pihak perlu berhati-hati dengan mereka termasuk dalam kalangan keluarga kerana sebarang perkara negatif juga boleh berlaku.

“Kejadian seperti sumbang mahram, rogol, pelacuran dan sebagainya juga boleh terjadi.

“Oleh itu, kita semua perlu saling menjaga iman dan berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri mengharapkan agar wujud badan bagi memantau individu yang aktif berdakwah agar tidak terlibat dengan aktiviti jenayah.

“Mekanisme perlu ada untuk mengawal perkara sebegini berlaku agar tidak mewujudkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram