Undi 18: galak orang muda keluar mengundi PRU15


  • Massa
  • Khamis, 13 Okt 2022

Pengundi muda memerlukan nasihat dan galakan daripada ibu bapa dan parti politik agar keluar mengundi ketika PRU15 nanti.

DIANGGARKAN 16 peratus daripada 7 juta pengundi baharu daripada pendaftaran automatik merupakan golongan berusia 18 hingga 20 tahun.

Melihat kepada situasi itu, kumpulan belia dan remaja yang pertama kali ingin keluar mengundi bagi pilihan raya memerlukan desakan ibu bapa dan sokongan parti.

Perkara itu disuarakan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr Ismail Sualman ketika diminta mengulas mengenai pengaruh undi 18 dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, anak muda yang masih berada di bawah jagaan ibu bapa atau berpendapatan rendah berpendapat keluar mengundi bukan satu tugas penting untuk mereka.

ezgif-3-dcd96851a9

Ismail Sualman. — Bernama

“Mereka ini bukannya tidak tahu mengenai politik. Perkembangan politik banyak diperkatakan di media sosial dan itu amat dekat dengan mereka.

“Cuma perasaan untuk mengundi itu mungkin masih belum cukup menebal dalam diri mereka kerana perkara tersebut melibatkan kos serta masa.

“Bagaimana jika mereka bekerja di ibu kota, tetapi perlu pulang ke kampung di luar bandar, itu tentu sekali memerlukan perbelanjaan tambahan. Berbeza sekiranya ada mana-mana parti yang sudi membawa mereka pulang untuk mengundi. Tindakan itu secara tidak langsung dapat membantu dan memudahkan mereka,” katanya kepada Majoriti.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut mengulas mengenai barisan calon muda yang dijadualkan akan bertanding dalam PRU15 nanti, Ismail menjelaskan mereka mungkin akan berjaya memenangi hati rakyat jika bersungguh-sungguh mempamerkan keinginan untuk membantu rakyat.

Ismail berkata, berdasarkan amalan majoriti pengundi, mereka lebih cenderung memilih calon yang memberi kesan kepada komuniti.

“Pengundi lebih cenderung untuk melihat pencapaian ahli politik sebelum membuat sebarang pemilihan.

“Selalunya mereka lebih senang memilih individu berusia 40 tahun ke atas. Namun, orang muda tetap juga perlu diberi peluang untuk berpolitik agar mereka dapat menimba pengalaman mengenai cara pengurusan parti dan rakyat.

“Bagaimanapun kematangan seseorang itu tidak diukar berdasarkan tangga usia tetapi melibatkan sumbangan, kesungguhan dan tahap serius terhadap parti dan rakyat,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram