Industri kreatif peroleh dana RM177 juta, 'Mat Kilau' jadi penanda aras


  • Hiburan
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Ramai penggiat seni yang mula menghasilkan karya mereka susulan kejayaan filem Mat Kilau.

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM152 juta untuk memacu industri kreatif tempatan susulan kejayaan filem Mat Kilau yang berjaya mendapat kutipan tertinggi dan mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan menyediakan RM50 juta sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) bagi memacu industri kreatif tempatan.

"Kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan lebih banyak karya kreatif serta malar segar.

"Bagi menyokong penggiat industri mencipta kandungan kreatif berkualiti tinggi, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan diberi potongan cukai," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga bersetuju mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran

Tambahnya, kerajaan akan mempergiat Program Merakyatkan Seni, Budaya dan Warisan di peringkat akar umbi dengan peruntukan RM25 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram