MALAYSIA segera melupakan keputusan bertemu Guam apabila kembali meraih kemenangan dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 selepas menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 pada aksi ketiga yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia pada Jumaat.
Tidak seperti ketika bertemu Palestin dan Guam yang menyaksikan skuad muda negara gagal untuk mendapatkan jaringan pada separuh masa pertama, Muhammad Arami Wafiy berjaya meletakkan Malaysia dihadapan pada masa kecederaan.
Bersambung babak kedua, skuad negara tampil lebih agresif apabila melebarkan jaringan menerusi Muhammad Anjasmirza pada minit ke-51.
Bagaimanapun UAE yang tidak mengalah kembali memberi saingan apabila meledak dua gol hasil jaringan Saeed Amer Mohammad (76') dan Abdulaziz Mohamed Almarzooqi (84') untuk mengikat perlawanan 2-2.
Ketika kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan mencari gol untuk tiga mata penting masing-masing, Faris Danish muncul wira negara apabila meledak jaringan penting pada minit ke-93' sekali gus menoktahkan kemenangan Harimau Muda.
Kemenangan kedua selepas mengharungi tiga perlawanan itu menyaksikan skuad negara kini perlu wajib menang ke atas tuan rumah, Indonesia dalam aksi terakhir pada Ahad sekiranya mahu layak secara automatik sebagai juara kumpulan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram