'Mat Dan' Polis EVO 2 rawat jiwa dengan tanaman di rumah 


  • Hobi
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Syafie menjadikan tanaman sebagai sebahagian daripada pengisian masa lapang.

SETIAP daripada kita mempunyai cara tersendiri untuk menghilang beban yang tidak hanya 'dipikul' bahu, tetapi turut merawan di ruang hati.

Bagai kata bidalan luka di jari nampak di mata, luka di hati entah siapa yang tahu. Disebabkan itu bukan mudah untuk mengubat hati jika tidak kena dengan caranya.

Sama juga dengan pelakon berkaliber, Syafie Naswip yang memilih melakukan aktiviti berkebun sebagai hobi dan salah satu terapi jiwa tatkala dirinya berkelodak dengan gundah gulana.

Pemilik nama Mohammad Syafie Naswip, 30, itu mengakui dia sememangnya suka dengan tanaman sementelah perkara itu sudah sebati dalam dirinya sejak kecil.

WhatsApp Image 2022-10-06 at 10.32.11 PM

Hobi tanaman dapat memberikan ketenangan dan mententeramkan jiwa.

Kata Syafie, kecenderungan terhadap tumbuhan hijau semakin bergelora ketika seluruh rakyat Malaysia 'terkurung' di rumah agar terlindung diri daripada virus Covid-19.

"Minat itu sudah ada lama, tetapi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar 2020 dilaksanakan, saya menjadi tidak tahu apa yang ingin dibuat di rumah.

"Jadi saya terfikir aktiviti tanaman ini ada baiknya juga. Bukan sekadar dapat menjimatkan belanja, tetapi turut dapat memberi ketenangan.

"Setidaknya-tidak dapat dijadikan sebagai terapi emosi dan menghilangkan stres. Lebih seronok apabila dapat menuai hasil tanaman," ujarnya ketika dihubungi Majoriti.

Kasih sayang

Pelakon filem Polis EVO 2 itu memberitahu video di YouTube dijadikan sebagai 'sekolah' untuk memahirkan diri 'bermain' dengan tanah.

Meskipun kelihatan mudah, tetapi bagi Syafie setiap apa yang ingin dilakukan memerlukan ilmu agar tidak terpesong daripada landasan.

"Mengetahui keadaan tanah, jenis pokok, keperluan air dan keperluan cahaya perlu diambil kira agar tidak mensia-siakan 'hidup' pokok itu.

"Anggap tanaman ini sama seperti budak-budak yang memerlukan perhatian, kasih sayang dan penjagaan sempurna untuk tumbuh dengan baik.

260922641_613879476480510_8183270081595774882_n

Bahagian belakang rumah Syafie dijadikan sebagai mini kebun yang dinamakan Kebun Bujang Nilai.

"Luangkan masa untuk berkomunikasi dan bercakap dengan mereka. Cara sebegitu secara tidak langsung membuatkan kita meluahkan apa yang terpendam di hati," katanya sambil melepaskan ketawa kecil di hujung talian.

Rancak berbicara dengan jejaka kelahiran Selangor itu, Syafie memberitahu dia memiliki hampir 200 jenis sayuran dan buah-buahan di rumah.

Menggunakan sepenuhnya ruang yang ada di belakang rumah di Nilai, Negeri Sembilan, Syafie memilik untuk berbakti kepada tanah dan mengabdikan diri kepada tanamannya.

"Saya ada bermacam tanaman sayur hijau seperti bayam, kobis termasuk sayuran lain antaranya cili, tomato dan daun salam.

"Apabila ada tanaman sendiri ini secara tidak langsung dapat menjimatkan dan boleh juga buat kongsikan dengan kenalan atau jiran," kongsinya.

Pada masa sama pelakon itu turut berkongsi langkah yang perlu diambil sebelum bersedia untuk terlibat dengan aktiviti penanaman.

1. Ambil tahu

Perkara pertama yang diperlukan ialah pengetahuan tentang jenis pokok dan tanah bersesuai.

Adakah pokok tersebut memerlukan pencahayaan terus atau perlu diletakkan di tempat redup.

Perlu tahu juga sama ada tanaman itu sesuai untuk tanaman dalam pasu ataupun terus di tanah.

2. Jangan mengalah

Kata orang langkah pertama merupakan perkara paling sukar untuk dilakukan. Oleh itu jangan pernah takut untuk mencuba dan berdepan dengan sebarang kemungkinan.

259809059_259729339539732_8705636173698488722_n

Sebilangan tanaman yang ada ditanam oleh Syafie di rumahnya.

Awalnya mungkin akan ada kegagalan, tetapi jangan mudah mengalah dan teruskan sahaja usaha sehingga berjaya.

3. Menghargai

Anggap tanaman itu sebagai salah seorang yang penting dalam hidup kita.

Meskipun sibuk, kita tetap cuba untuk meluangkan masa dengan melihat keadaan tumbesarannya.

4. Baja dan racun perosak

Perlu tahu jenis baja yang diperlukan oleh tumbuhan dan juga racun bersesuaian agar dapat dijauhkan daripada serangga perosak.

Kandungan baja yang diperlukan perlu bersesuaian dengan tumbuhan kerana sekiranya terlebih bimbang akan merosakkan tanaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram