Bola keranjang cetus minat Syazuwan Hassan kumpul jersi


  • Hobi
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Syazuwan akan meluangkan masa sekitar tiga hingga empat jam setiap kali bermain bola keranjang. — YAP CHEE HONG/The Star

MEMILIKI ketinggian 1.9 meter, pelakon kacak, Syazuwan Hassan tentu sahaja menjadikannya sebagai kelebihan menyertai sukan bola keranjang.

Bermula dengan suka-suka, Syazuwan atau nama lengkapnya Muhammad Syazuwan Hassan, 32, terus jatuh cinta dengan aktiviti itu sekali gus aktif melibatkan diri dengan sukan tersebut sejak sejak berusia 14 tahun.

Katanya, penglibatan dalam sukan itu bukan sahaja memberikan kepuasan tetapi turut membantunya menjimatkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal lain.

“Sejak sekolah, saya memang sudah aktif terlibat dengan sukan ini termasuk menyertai beberapa kejohanan.

“Minat itu tidak hanya di sekolah kerana saya turut aktif ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“Meskipun sibuk dengan jadual belajar yang agak padat tetapi saya cuba membahagikan masa agar seimbang antara pelajaran dan minat,” jelasnya kepada Majoriti.

Interview with Syazuwan Hassan. - YAP CHEE HONG/The Star

Beberapa helai jersi sukan bola keranjang yang dimiliki oleh Syazuwan Hassan. — YAP CHEE HONG/The Star

Minat kumpul jersi

Bermula daripada itu, Syazuwan mula membenihkan hobi baharu iaitu mengumpul jersi bola keranjang. Meskipun kebanyakan rekaan kelihatan sama, namun setiap satu daripadanya menyimpan 1,001 kenangan.

Jelas pelakon filem Pulang itu, dia tetap akan menjaga setiap jersi yang ada meskipun tidak lagi dipakai.

“Tiada sebarang penjagaan khusus kerana material jersi ini memang menggunakan bahan tahan lama dan lasak. Jadi, saya hanya akan membasuhnya selepas dipakai, keringkan dan lipat.

“Ada antaranya akan dipakai semula jika saya berkesempatan untuk bersukan manakala yang lain dibiarkan begitu sahaja di dalam almari dalam keadaan berlipat,” katanya.

Menjawab mengenai jersi kegemaran, Syazuwan menganggap kesemua jersi yang dimiliki istimewa. Hal itu kerana sukar untuk aktor terbabit menentukan yang mana satu pilihan hati.

“Pada saya yang mana kegemaran itu tidak adil kerana semua pun kesayangan. Penjagaan tetap sama rata cuma mungkin ada sesetengah saya akan ulang pakai untuk bersukan,” ujarnya.

Interview with Syazuwan Hassan. - YAP CHEE HONG/The Star

Bermain bola keranjang menjadi sebahagian daripada hobi Syazuwan ketika di waktu lapang sekali gus mengumpul beberapa jersi sukan tersebut. — YAP CHEE HONG/The Star

Syazuwan turut memberitahu, dia tetap akan meluangkan masa untuk bersukan meskipun terikat dengan jadual kerja sebagai pelakon dan model.

Jelasnya, minat terhadap sukan tersebut tidak menghalang dia untuk terus melakukan aktiviti terbabit sekali gus mengumpul lebih banyak jersi baharu pada masa akan datang.

“Sekiranya tidak terikat dengan jadual penggambaran, saya akan mengajak rakan-rakan lain atau mereka akan memaklumkan tentang sebarang perlawanan.

“Sekurang-kurangnya saya akan meluangkan masa sekitar tiga atau empat jam untuk satu permainan tetapi jika suka lama tidak bermain, mungkin boleh jadi lebih daripada itu,” terangnya.

Meskipun menjadikan sukan tersebut sebagai salah satu cara beriadah, Syazuwan tetap meluangkan masa ke gimnasium untuk melakukan beberapa aktiviti fizikal kardio.

“Aktif bersukan pun perlu untuk melakukan senaman bagi mengelakkan berlaku kekejangan otot atau mengakibatkan kecederaan.

“Sepanjang penglibatan dalam sukan ini saya ada beberapa kali mengalami kecederaan pada pergelangan kaki. Syukur cedera tidak terlalu teruk atau membimbangkan,” katanya.

belanjawan 2023 (2)

Syazuwan mengakui mengalami kecederaan pada pergelangan kaki namun tidak begitu serius.

Di samping itu, Syazuwan turut kongsikan beberapa tip sebagai persediaan sebelum terlibat dalam sukan tersebut.

  1. Panaskan badan. Sebaiknya luangkan masa sekitar 10 hingga 15 minit untuk melakukan aktiviti memanaskan panas badan iaitu senaman ringan sebelum bersukan.
  2. Makan. Disarankan ambil makanan sejam sebelum memulakan permainan. Perkara ini dikhuatiri akan mengakibatkan muntah atau berasa tidak selesa ketika bersukan.
  3. Stamina. Luangkan masa untuk melakukan senaman agar bertenaga untuk bersukan.
  4. Pakaian bersesuaian. Pilihan pakaian yang selesa seperti menyerap peluh dan tidak terlalu ketat. Begitu juga dengan kasut yang bersesuaian. Pilihan kasut antaranya low, mid dan high cut bagi melindungi pergelangan kaki.
  5. Gelanggang. Jika terlibat dengan sebarang perlawanan sebaik luangkan masa untuk datang awal dan membiasakan diri dengan persekitaran gelanggang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram