SEJAK beberapa bulan lepas, Mohd Adli Yahya, 57, banyak menghabiskan masa meneliti maklumat mengenai pertanian.
Dia menunjukkan minat mendalam dalam bidang pertanian vertikal. Pertanian vertikal adalah kaedah pertanian moden yang mana semua aktiviti penanaman dijalankan dalam bangunan dilengkapi infrastruktur seperti sebuah kebun lengkap.
Menariknya, dia berhasrat untuk menjadikan aktiviti itu sebagai projek untuk diterajui kakitangannya yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU).
Pengasas Projek Kafe Autisme itu memilih tanaman cili untuk diusahakan sekumpulan remaja dengan masalah pembelajaran.
“Tugasan diberikan mengikut kemampuan mereka dan saya yakin penanaman cili adalah sesuatu yang mereka boleh kendalikan,” katanya yang mengendalikan kafe itu di Subang Jaya, Selangor.
Mohd Adli dan isterinya menggerakkan usaha Projek Kafe Autisme kira-kira lima tahun lalu. — Facebook
Mendapat ilham daripada anak keduanya, Muhammad Luqman Shariff, 23, yang disahkan menghidap autisme, bapa kepada enam orang anak itu menggerakkan usaha Projek Kafe Autisme kira-kira lima tahun lalu.
Menurutnya, penubuhan kafe itu antara lain bagi melatih belia autistik supaya mereka boleh berdikari dan membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri.
Selain anak lelaki Mohd Adli, Projek Kafe Autisme yang beroperasi di Da Men Mall itu turut membabitkan empat lagi remaja autisme lain.
Seperti kebanyakan ibu bapa lain yang mempunyai anak autisme, Mohd Adli dan isterinya, Nozilan Mohamad, 57, menyuarakan kebimbangan tentang nasib remaja itu jika mereka tiada lagi di dunia.
Mohd Adli berusaha mengumpul RM50,000 untuk memulakan projek ladang cili yang diterajui golongan belia autisme. — Facebook
Berikutan itu, Mohd Adli mahu memastikan anak istimewanya dan remaja autistik lain dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri.
“Sebagai ibu bapa, kami mencari peluang yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak istimewa ini.
"Ia penting terutamanya apabila kami semakin tua dan tidak dapat menjaga mereka. Jadi kami perlu membina asas yang kukuh untuk anak-anak ini," tambahnya lagi.
Untuk itu, penanaman cili secara kaedah penanaman vertikal adalah salah satu cara untuk menyediakan mereka ke arah kehidupan berdikari.
“Cili digunakan dalam banyak hidangan yang disediakan di kafe ini.
"Saya bercadang untuk menjual pes cili kisar, sambal cili dan cili jeruk yang diperbuat daripada tanaman cili di sini.
"Saya juga cuba bekerjasama dengan pasar raya besar untuk menjual hasil tanaman cili yang diusahakan anak-anak ini,” jelas Mohd Adli.
Menceritakan mengenai pengalamannya menubuhkan Projek Kafe Autisme, Mohd Adli berkata, dia berhenti kerja sebagai pengarah eksekutif di sebuah syarikat swasta pada tahun 2016 untuk memberi tumpuan kepada penubuhan kafe tersebut.
Pada masa sama, isterinya juga melepaskan tugas sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi untuk menguruskan kafe berkenaan.
“Lima tahun lalu, anak saya tidak dapat mengendalikan tugas-tugas mudah seperti mengikat tali atau mengupas bawang.
"Memberi latihan kepada Muhammad Luqman bukanlah mudah tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain, dan saya tidak boleh berputus asa.
Penubuhan Projek Kafe Autisme antara lain bagi membolehkan remaja autisme berdikari.
"Jika saya tidak buat ini untuk anak saya, siapa lagi yang akan melakukannya? Namun dengan latihan selama bertahun-tahun, dia mampu melaksanakannya.
“Apabila saya memulakan kafe ini, saya mahu melatih belia autisme untuk mempelajari sesuatu kemahiran. Saya mahu mereka menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin," kata bapa penyayang itu.
Mohd Adli berkata, dia berusaha mengumpul RM50,000 untuk memulakan projek ladang cilinya. Dia sedang membincangkan kemungkinan menubuhkan ladang itu dengan Kebun Kebun Bangsar di Kuala Lumpur dan seorang usahawan di Janda Baik di Pahang.
"Jika semuanya berjalan dengan baik, saya berhasrat untuk melancarkan projek pertanian vertikal ini dalam masa terdekat.
“Saya berharap orang ramai dapat menyokong kami dalam usaha untuk membantu belia autistik menjalani kehidupan sebaiknya. Matlamat kami adalah untuk menjadikan mereka berdikari,” kata Mohd Adli menutup bicara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram