Sembilan siswa, siswi al-Azhar julang nama negara di Timur Tengah, Afrika


Misi kemanusian bersama YOSH Timur Tengah dan Afrika menjadi pemangkin inspirasi kepada sembilan penuntut al-Azhar.

MAHASISWA dan mahasiswi hari ini bukan sahaja berperanan untuk menimba seberapa banyak ilmu malah, mereka juga memikul tanggungjawab untuk melatih diri mereka menerusi aktiviti kokurikulum.

Aktiviti yang dilakukan di luar kampus pembelajaran mampu mendedahkan pelajar dengan pelbagai pengalaman dan pendidikan baharu dan sekali gus menambah baik kemahiran insaniah mereka.

Dalam merealisasikan objektif itu, sembilan penuntut di Universiti al-Azhar telah menyertai program sukarelawan di bawah Program Kepimpinan Belia Antarabangsa anjuran YOSH Timur Tengah dan Afrika.

Program yang diadakan di Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Malawi itu bertujuan meningkatkan kebolehan siswa untuk memimpin dan menguruskan sesuatu projek.

Selain itu, penganjuran itu juga berpeluang untuk meluaskan lagi kerjasama di antara kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) yang mampu dimanfaatkan pada masa akan datang.

Beberapa aktiviti termasuk perbincangan secara berkumpulan diadakan dengan menjadikan bimbingan kemahiran insaniah dan profesionalisme sebagai agenda utama bagi membangunkan belia Islam di serata dunia, terutama di Timur Tengah dan Afrika.

Pertemuan bersama ahli Ulama Islam Sedunia

Peserta berpeluang untuk bertemu dengan Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam, Syeikh Dr. Ali al-Qaradaghi dalam program itu bagi membincangkan beberapa hal yang mampu memacu golongan belia.

Pelbagai perkongsian telah diberikan oleh beliau seperti memberi sokongan kepada amal kebajikan dan kesemua projek yang dianjurkan badan NGO, MyFundAction selain menggalakkan lagi aktiviti badan sukarelawan itu secara global.

Selain itu, cenderahati dalam bentuk sijil dan buku ilmiah karangan Ali al-Qaradaghi dihadiahkan kepada peserta program sebelum perjalanan program diteruskan.

al-Qorodoghi

Pertemuan siswa dan siswi bersama tokoh ilmuwan, Syeikh Ali al-Qaradaghi.

Bagi menghargai pemberian itu, pihak penganjur memberi ulama itu beberapa naskah al-Quran yang dicetak sendiri untuk diwakafkan di beberapa negara sekitar Timur Tengah dan Afirka.

Ali al-Qaradaghi merupakan seorang individu yang amat dihormati di serata Timur Tengah setelah menyertai beberapa organisasi Islam termasuk Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama Islam.

Cendekiawan berusia 73 tahun itu juga memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Sekolah Islam Tehran di Iran dan beberapa organisasi yang lain.

Kunjungan ke beberapa pejabat NGO terkemuka

Delegasi MyFundAction berpeluang berkunjung ke beberapa pejabat NGO di Qatar termasuk pertubuhan Qatar Foundation yang sememangnya terkenal dengan sumbangan kepada sektor pendidikan, penyelidikan dan inovasi sehingga dapat dimanfaatkan seluruh dunia.

Tidak cukup dengan itu, peserta juga sempat bertemu dengan pertubuhan amal sukarela, Qatar Red Crescent yang sangat aktif dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam seluruh dunia.

Pertubuhan itu juga terkenal dengan mengadakan program bantuan dalam bentuk fizikal dan spiritual, seperti yang pernah diadakan ketika konflik di tebing Gaza, Palestin pada 2014.

Bantuan yang dihulurkan dengan pembekalan alatan perubatan, termasuk ubat-ubatan dan bahan api untuk hospital sememangnya memaparkan objektif utama persatuan yang ditubuhkan seawal 1978 itu.

Program itu diteruskan dengan pertemuan bersama pertubuhan Munazzhomat Al-Dakwah Al-Islamiah (MADA) - Islamic Appeal Organization yang bergiat aktif di Khartoum, ibu negara Sudan.

Qatar

Pertemuan bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, UAE.

Organisasi yang bergiat aktif di peringkat antarabangsa itu cukup dikenali apabila mereka giat menyediakan perkhidmatan berbentuk kemanusiaan di serata benua Afrika.

Ia dapat dilihat apabila mereka giat menubuhkan ribuan pejabat di 41 negara dengan sebahagian daripadanya bertempat di Sudan bagi membolehkan lebih ramai kumpulan yang terkesan mendapat akses kepada organisasi itu.

Meskipun kelihatan tiada aktiviti yang diadakan, pertemuan bersama beberapa badan NGO terkemuka itu jelas menunjukkan kesungguhan YOSH Timur Tengah dan Afrika dalam menjalinkan kerjasama.

Bagi mahasiswa dan mahasiswi pula, pertemuan itu membolehkan mereka mengenali dan berkongsi idea yang dapat menambah tahap pengetahuan dan kebolehan kognitif individu.

Lawatan bermakna ke negara ketiga termiskin di dunia

Selain membabitkan diri dengan program yang dapat menjalinkan kerjasama dengan perbadanan NGO di beberapa negara, mahasiswa dalam program itu juga berpeluang menziarahi negara yang sedang bergelut dari segi ekonomi.

Pembabitan itu jelas menonjolkan kesungguhan peserta apabila mereka sanggup mengeluarkan duit sendiri semata-mata untuk meluangkan beberapa minggu di negara ketiga termiskin di dunia itu.

Sepanjang tempoh keberadaan mereka di situ, peserta program sempat bertemu dengan graduan al-Azhar serta melihat perkembangan sosial penduduk di negara kecil itu.

Selain itu, mereka berpeluang untuk bertemu dengan pelajar tahfiz dan anak-anak yatim negara itu dengan membawa al-Quran yang diwaqaf dan diamanahkan penduduk tanah air.

Qoran

Pelajar tahfiz di Malawi menerima al-Quran yang diwakafkan rakyat Malaysia.

Sumbangan itu jelas membawa keriangan kepada anak kecil di negara itu apabila mereka terpaksa berkongsi mushaf dengan pelajar di Madrasah Kawale menggunakan satu mushaf bagi setiap 10 orang penuntut.

Kesempatan itu juga digunakan peserta untuk memberi bimbingan kepada kesemua pelajar selepas bertahun-tahun tunjuk ajar diberikan secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19.

Program itu juga pastinya memberi pendedahan yang cukup besar kepada peserta apabila mereka dapat bergaul bersama mereka yang tidak bernasib baik tetapi tidak pernah berputus asa.

Didikan dan bimbingan yang diberikan kepada pelajar di Malawi itu juga dapat menambah baik kemahiran komunikasi mereka sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjaya mereka pada masa hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram