Selepas Kedah Fashion Week, satu Kedah terkilan peserta wanita Islam pula 'tayang badan'


  • Tular
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan beberapa peserta wanita sedang mempamerkan aksi dalam Kejohanan Mr. Malaysia di Kedah baru-baru ini.

KEJOHANAN Mr. Malaysia 2022 yang dianjurkan di Kedah baru-baru ini mengundang kecaman ramai apabila menampilkan atlet bina badan wanita yang dikatakan mendedahkan tubuh masing-masing yang tidak sesuai untuk paparan umum.

Berlangsung di Hotel Grand Alora, Alor Setar Kedah, kejohanan peringkat kebangsaan itu difahamkan tidak menghormati masyarakat Islam di negeri itu berikutan ia turut disertai beberapa peserta beragama Islam.

Tempat pertama kategori Bina Badan Wanita telah dimenangi oleh peserta dari Sabah iaitu Junaidah Ahmad manakala bagi kategori lelaki pula dijuarai atlet bina badan dari ATM iaitu Zainal Arif.

Belum reda dengan kontroversi penganjuran Kedah Fashion Week yang melibatkan seorang model berpakaian mencolok mata pada awal Ogos, pihak kerajaan negeri makin dikritik hebat kerana didakwa membenarkan penganjuran program berupa hiburan sedemikian.

Berikutan itu, rata-rata netizen meluahkan kemarahan di laman Facebook dan menganggap negeri Kedah kini sudah semakin tenggelam dengan dunia hiburan yang menyesatkan.

Fairuz Siberruz berkata, negeri Kedah sudah hilang semangat membanteras aktiviti haram seperti sebelum ini.

"Macam mana pihak penguatkuasa boleh terlepas pandang acara macam ini, mana pergi semangat melawan judi dan gejala haram macam sebelum ni?" soalnya.

"Kalau boleh yang beragama Islam tolonglah jaga aurat dan jangan dedahkan segalanya kepada orang awam, saya tegur berdasarkan apa yang saya tahu sebagai umat Islam," kata Shah Nawas.

"Kalau dah tahu awal kenapa tak bantah je pihak penganjuran seperti ini, tugas membanteras maksiat bukan terletak kepada sesetengah kelompok ataupun ulama sahaja, tapi perlukan kerjasama semua," jelas Najib Budiman.

Meskipun kejohanan itu dipertandingkan di peringkat kebangsaan, namun orang ramai tidak bersetuju acara sedemikian dijalankan di negeri Kedah yang rata-ratanya didiami masyarakat Islam.

Sehingga kini masih tiada sebarang maklumat dan maklum balas daripada pihak penganjur berikutan isu berkenaan yang tular di media sosial sejak Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram