Awas! Stres antara faktor ekzema dishidrotik jadi lebih serius


  • Sihat
  • Ahad, 04 Sep 2022

Antara simpton penyakit ekzema dishidrotik ialah ruam berair yang kecil dan sangat gatal di celah-celah jari tangan. — Agensi

EKZEMA atau dermatitis merupakan penyakit kulit yang menyerang seseorang individu tidak mengira peringkat usia.

Meskipun tidak berjangkit, ekzema memberi kesan kerosakan kulit dan menyebabkan ketidakselesaan.

Terdapat beberapa jenis ekzema dikenal pasti dan salah satunya adalah ekzema dishidrotik.

DR NORAZIRAH MUGSHOT

Dr Norazirah berkata, stress juga boleh menjadi faktor yang boleh menyebabkan penyakit kulit ini menjadi lebih meruncing.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Dr Norazirah Md Nor, ekzema dishidrotik merupakan sejenis sakit radang kulit kronik atau ekzema yang hanya berlaku pada tangan dan kaki.

Pakar kesihatan itu berkata, antara simpton penyakit itu adalah penghidap secara lazimnya akan mengalami ruam berair yang kecil dan sangat gatal di celah-celah jari tangan dan kaki, selain boleh melibatkan bahagian tapak tangan dan kaki.

Selain itu, katanya, ruam berair tersebut akan bertahan selama sehari atau dua hari sebelum ia pecah dan menyebabkan kulit menjadi kering dan mengelupas.

"Penyebab utama ekzema dishidrotik tidak diketahui secara sepenuhnya, namun kajian menunjukkan bahawa ia boleh disebabkan oleh faktor genetik, yang menyebabkan kulit pada bahagian tangan dan kaki menjadi lebih sensitif kepada faktor persekitaran.

"Namun begitu, stres juga boleh menjadi faktor yang boleh menyebabkan penyakit kulit ini menjadi lebih meruncing," katanya kepada Majoriti.

3529-pompholyx-eczema-compressed

Penghidap secara lazimnya akan mengalami ruam berair yang kecil dan sangat gatal di celah-celah jari tangan dan kaki. —Agensi

Mengulas lanjut, Dr Norazirah berkata, risiko yang meningkatkan pesakit kepada ekzema dishidrotik itu termasuk sejarah persendirian atau keluarga yang menghidapi penyakit resdung, lelah dan ekzema atopic.

Katanya, ekzema dishidrotik boleh menjadi lebih serius apabila pesakit menggunakan sabun pencuci tangan yang berunsur antibakteria.

"Selain itu, pesakit yang menggunakan cecair pembasmi kuman yang mengandungi alkohol, banyak melakukan kerja-kerja basah seperti memasak dan mencuci pinggan, selain stres secara mental dan fizikal turut menyebabkan ekzema dishidrotik menjadi lebih serius," katanya.

doctor-dermatologist-examines-patients-hand-with-royalty-free-image-1662056958

Pesakit yang menggunakan cecair pembasmi kuman yang mengandungi alkohol juga boleh menyebabkan ekzema dishidrotik — Agensi

Berikut merupakan perubahan gaya hidup yang disarankan oleh Dr Norazirah kepada penghidap ekzema dishidrotik:

1) Kurangkan atau jauhi penggunaan sabun pencuci tangan yang mengandungi bahan antibakteria. Jadi, memadailah mencuci tangan dengan sabun atau cecair pencuci tangan yang mempunyai PH yang mesra kulit seperti PH 5 hingga 5.5.

2) Kurangkan penggunaan cecair pembasmi kuman beralkohol.

3) Kurangkan melakukan kerja-kerja basah seperti mencuci pinggan mangkuk dan sebaiknya memakai sarung tangan getah (hypoallergenic) ketika melakukan kerja-kerja tersebut.

4) Amalkan gaya hidup yang dapat mengurangkan stres seperti kerap bersenam walaupun hanya berjalan kaki sebanyak dua hingga tiga kali seminggu, serta dapatkan tidur yang mencukupi.

Dr Norazirah berkata, rawatan yang disarankan kepada penghidap ekzema dishidrotik termasuk:

1) Untuk mengeringkan ruam berair, gunakan rawatan rendaman dengan menggunakan cecair ‘potassium permanganate’ yang telah dicampur bersama air selama 10 hingga 15 minit sebanyak sekali hingga dua kali sehari, sehingga kesemua ruam yang basah itu mengering.

2) Untuk mengurangkan radang, gunakan krim pelembab yang sesuai dan juga krim anti radang seperti steroid dan juga nonsteroidal.

3) Untuk kes-kes yang lebih serius, rawatan setempat seperti rendaman dan krim sapuan perlu digandingkan bersama rawatan sistemik (ubat yang hanya dapat diberikan dan dipantau oleh pakar kulit anda). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram