Rampasan vape ikut peraturan dan undang-undang sedia ada — KKM


  • Primer
  • Jumaat, 02 Sep 2022

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali melakukan demonstrasi pertolongan cemas selepas merasmikan program latihan pertolongan cemas dan penggunaan alat AED di Zoo Taiping, pada Jumaat. —Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menafikan menindas pengusaha rokok elektronik atau vape berikutan beberapa serbuan dan rampasan yang dijalankan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, serbuan bukan dilakukan secara semborono sebaliknya berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Tidak ada siapa hendak menindas (pengusaha vape), kita hendak jaga rakyat supaya sentiasa sihat.

"Saya percaya tindakan (serbuan ke atas premis vape) dilakukan atas sebab-sebab tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program latihan pertolongan cemas dan penggunaan alat defibrilator luaran automatik (AED) di Zoo Taiping dan Night Safari pada Jumaat.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) Ridhwan Rosli dilaporkan sebagai berkata, tindakan KKM melakukan serbuan dan rampasan ke atas industri vape menjejaskan operasi pengusaha vape di sekitar Lembah Klang serta memberi kesan kepada usahawan kecil dan sederhana yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Ridhwan dilaporkan berkata, tindakan serbuan dan rampasan itu seolah-olah memberikan tekanan ke atas industri kerana industri tidak bersetuju dengan cadangan KKM untuk menyamakan vape dengan rokok serta cadangan Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dan Generasi Penamat (GEG).

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata, KKM akan membuat keputusan berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka di negara ini.

Beliau berkata, keputusan itu akan diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin tidak lama lagi.

"Ini kerana data kes (Covid-19) telah menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini dan kita juga sudah hampir kepada kehidupan normal," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan mengenai pemakaian pelitup muka akan diputuskan KKM apabila pihaknya sudah meminta Dr Noor Azmi melihat kepada keperluan untuk pemakaian pelitup muka sekiranya situasi Covid-19 beransur pulih. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram