ARTIS autisme, Danial Kushairi Mohd Idris, 19, membuktikan bahawa dia bukan sahaja boleh melukis di atas kanvas, malah hasil karya itu diterjemah dalam bentuk ilustrasi kulit buku.
Baru-baru ini sebuah buku kanak-kanak, bertajuk Ben Saves The Day, yang memaparkan ilustrasi kreatif dan berwarna-warni hasil kreativiti Danial dilancarkan.
Danial, yang menghidap autisme dan keterbatasan pertuturan, menjadi pengarang bersama buku itu bersama penulis Akmallina Athirah Mohamad Zaharin, 23.
Ibunya, Rohani Ahmad, 54, amat berbangga dengan pencapaian Danial. Katanya, ia membuktikan bahawa orang berkeperluan khas boleh memanfaatkan bakat mereka dan berpeluang untuk menyinar.
“Saya sangat gembira untuk Danial. Saya berharap buku ini akan memberi inspirasi kepada individu berkeperluan khas untuk gigih mengembangkan bakat dan menggunakan kebolehan berbeza untuk mencapai kejayaan.
“Penerbitan buku ini memberi Danial ruang untuk menyampaikan ideanya dan mengembangkan bakatnya.
“Semoga ini boleh menjadi permulaan kepada lebih banyak usaha untuk Danial,” kata Rohani melalui e-mel seperti dipetik The Star.
Ilustrasi karya Danial dipaparkan dalam buku kanak-kanak, Ben Saves The Day. — Ihsan Rohani
Buku setebal 24 muka surat itu diilhamkan daripada lukisan Danial, The Ocean Fish. Ia mengisahkan seekor ikan pendiam dan artistik bernama Ben yang selalu diejek oleh rakan sekelasnya kerana gagap apabila bercakap.
Pada suatu hari, rakan sekelas nakal bernama Joe mengalami masalah dan Ben membantu menyelamatkannya. Selepas kejadian itu, Joe menyedari kesilapannya dan meminta maaf kepada Ben, dan mereka akhirnya menjadi kawan baik.
Moral cerita itu adalah mengenai bercakap benar dan belajar menerima serta menghormati perbezaan orang lain.
Melalui buku itu, Rohani berharap dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk mereka yang mengalami autisme, Sindrom Down dan gangguan pembelajaran lain.
“Orang ramai berbeza bangsa, warna kulit dan kebolehan. Adalah penting untuk mendidik pelajar untuk menerima rakan sebaya mereka tanpa prejudis.
“Empati dan penerimaan mesti diberikan kepada pelajar semasa mereka masih muda supaya dapat membesar menjadi individu yang bertimbang rasa dan penyayang,” kata Rohani.
Danial menjadi pelukis profesional sejak berusia 16 tahun. — Ihsan Rohani
Dia yang menetap di Shah Alam, Selangor dan merupakan bekas pensyarah Universiti Teknologi MARA (Shah Alam) sanggup berhenti kerja pada 2008 untuk membesarkannya anak lelaki itu.
Ibu kepada empat orang anak itu percaya individu berkeperluan khas seperti Danial mungkin mempunyai bakat yang boleh dicungkil, dikembangkan dan dipelbagaikan.
“Bakat Danial mungkin berkisar pada seni visual. Bagaimanapun, individu lain mungkin mempunyai bakat serupa atau berbeza.
"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab orang berkaitan dengan individu ini, seperti ibu bapa atau penjaga, untuk memerhati mereka secara teliti berhubung kemahiran yang boleh dilakukan, tidak kira betapa kecilnya mereka,” katanya.
Danial menjadi pelukis profesional sejak berusia 16 tahun. Karyanya dipamerkan menerusi tiga pameran seni antarabangsa dalam talian – ArtWorks Together (Britain), ParaArt Tokyo (Jepun) dan Pameran Seni Kontemporari Antarabangsa Qingdao (China).
Kreativiti dan karya seni Danial yang memberi inspirasi kepada Rohani untuk mengeluarkan buku Ben Saves The Day.
“Danial paling gembira apabila dapat melukis kerana ia membolehkan perasaan dan emosinya mengalir secara semula jadi.
“Lukisannya sangat terperinci dan tersusun dengan baik. Seperti ada cerita di sebalik setiap lukisan," katanya.
Ibu Danial percaya, individu berkeperluan khas sepertinya mempunyai bakat yang boleh dicungkil, dikembangkan dan dipelbagaikan. — Ihsan Rohani
Rohani mengakui berdepan cabaran untuk memberi penerangan kepada Danial supaya menghasilkan kisah daripada lukisan itu secara berperingkat berikutan batasan dalam pertuturan.
Begitupun, dia tetap mendorong Danial dengan mengajukan beberapa siri soalan 'wh' (apa, bila, di mana, mengapa dan siapa) bertujuan membolehkan orang sekeliling memahami jalan cerita di sebalik setiap lukisan berkenaan.
"Ia memberikan kami idea untuk membantu Danial berkongsi kisahnya dengan orang lain," kata Rohani, sambil menambah bahawa buku itu berharga RM40 dan boleh didapati di oyezbookstore.
Rohani gembira anak tunggalnya itu dapat mencari minat dalam seni untuk mempamerkan bakatnya.
“Bagi Danial yang sukar untuk meluahkan perasaan, seni adalah bentuk saluran yang membolehkannya meluahkan perasaan dan emosi.
Tambahan pula, penyertaan dalam pameran seni meningkatkan keyakinan diri apabila orang ramai menghargai karya seninya.
“Dia kini lebih yakin dan menghargai bakat sendiri kerana sedar ia memberi manfaat kepada orang lain bukan sahaja melalui lukisan tetapi juga buku cerita.
"Walaupun terbatas dalam pertuturan, Danial tahu dia masih boleh berkongsi atau menyampaikan idea dan perasaannya dengan mempelbagaikan karya seni," kata Rohani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram