Awas! 3 jenis cacing kerap menjangkiti golongan dewasa


  • Sihat
  • Ahad, 28 Ogos 2022

Cacing boleh menjangkiti sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak mahupun golongan dewasa melalui pemakanan dan sentuhan. — Gambar hiasan/Agensi

RAMAI pasti beranggapan cacing hanya menjangkiti kanak-kanak tetapi tahukah anda betapa penyakit cacing boleh menjangkiti sesiapa sahaja termasuk golongan dewasa melalui pemakanan dan sentuhan.

Malah, golongan dewasa juga tidak terkecuali daripada perlu memakan ubat cacing jika mereka dijangkiti.

Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Ampang Puteri, Dr Yazli Yuhana berkata, jangkitan kecacingan amat mudah terjadi melalui pendedahan kepada tanah tercemar najis yang dihuni telur-telur cacing.

Menurutnya, jangkitan mudah terjadi lebih-lebih lagi jika individu tersebut berkaki ayam dan tidak menjaga tahap kebersihan seperti tidak mencuci dengan sempurna setelah ke tandas.

"Jangkitan juga boleh berlaku melalui pemakanan yang tidak masak dengan sempurna melibatkan makanan air tawar seperti ikan dan siput sedut.

"Ada juga jangkitan berlaku menerusi makanan siap proses yang tercemar seperti kes cacing dalam tin sardin yang menarik perhatian negara pada 2018.

"Bagi golongan dewasa, masalah kecacingan selalunya lebih kerap terjadi melalui faktor pemakanan," katanya kepada Majoriti.

1704724

Dr Yazli Yuhana berkata, jangkitan kecacingan amat mudah terjadi melalui pendedahan kepada tanah tercemar najis yang dihuni telur-telur cacing.

Berikut merupakan tiga jenis cacing parasit yang kerap berlaku di Malaysia dan gejala terkena kecacingan:

1) Cacing pita (Ascaris lumbricoides)

Cacing Pita

Cacing pita dalam usus manusia — Agensi

Pesakit yang mengalami masalah kecacingan daripada jenis cacing pita biasanya mengalami gejala seperti sakit perut, demam diikuti loya serta muntah-muntah dan cirit-birit berpanjangan.

Jangkitan cacing pita berlaku apabila cacing memasuki usus dan hidup di dalamnya.

2) Cacing cambuk (Trichuris trichiura)

Ascariasis is a disease caused by the parasitic roundworm Ascaris lumbricoides for education in laboratories.

Cacing cambuk akan menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti sakit perut, demam, muntah-muntah dan cirit-birit — Agensi

Boleh dijangkiti daripada makanan tercemar dengan najis manusia atau air kumbahan yang digunakan untuk tanaman baja yang mungkin tercemar dengan telur cacing.

Ia kemudiannya membiak dalam badan manusia dan larva akan bergerak ke luar usus, ke otot dan lain-lain tisu. Pesakit biasanya mengalami gejala seperti sakit perut, demam, muntah-muntah dan cirit-birit.

3) Cacing kerawit atau Hook-worms (Ancylostoma duodenale dan Necator americanus)

default

Gejala jangkitan kecacingan cacing kerawit ialah kegatalan serta ruam akan terjadi pada kawasan kulit yang dimasuki cacing — Agensi

Berbeza dengan jangkitan cacing pita dan cambuk, gejala jangkitan kecacingan cacing kerawit ialah kegatalan serta ruam akan terjadi pada kawasan kulit yang dimasuki cacing

Gejala ini seterusnya melibatkan gejala kronik seperti rasa penat dan tidak bermaya lantaran darah merah menjadi kurang akibat dihisap cacing yang membiak di dalam perut.

Keadaan ini dipanggil anemia yang boleh menyebabkan masalah pertumbuhan fizikal dan mental jika melibatkan kanak-kanak. Hal ini boleh berlarutan hingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun jika tidak dirawat.

Mengulas lanjut, Yazli Yuhana berkata, rawatan antikecacingan amat berkesan dan tidak susah untuk diperoleh daripada institusi-institusi kesihatan.

Berbeza mangikut jenis jangkitan cacing, rawatan ubat juga berbeza seperti Ivermektin untuk cacing pita serta cambu dan albendazole untuk cacing kerawit.

Sebagai langkah pencegahan, Yazli Yuhana menyarankan lima tip mudah bagi mengelakkan jangkitan cacing:

1) Jaga kebersihan

Kebersihan diri serta sistem kumbahan yang sempurna adalah langkah utama mengelakkan diri daripada terdedah dengan unsur-unsur bahan yang dicemari cacing parasit ini.

2) Masak makanan dengan sempurna

Elakkan makan makanan sungai yang tidak dimasak sempurna kerana telur serta larva cacing yang kecil dan sukar dilihat dengan mata kasar boleh mencemari sumber sumber makanan ini.

3) Dapatkan rawatan segera

Sekiranya kita jatuh sakit dan menghidap gejala-gejala tertentu seperti sakit perut serta cirit-birit yang berpanjangan, segera dapatkan rawatan kerana ubat cacing amat mudah diberi dan berkesan.

4) Lakukan pemeriksaan

Bagi kanak-kanak khususnya golongan yang hidup atau bersekolah di luar bandar dan mengalami gejala tidak bermaya kronik serta kadar pertumbuhan fizikal yang tidak sama dengan rakan sebaya, masalah kecacingan berpotensi menjadi penyebab.

Bawa mereka untuk mendapatkan pemeriksaan kerana masalah kecacingan boleh dikenal pasti dengan mudah oleh pihak perubatan.

5) Elak berkaki ayam

Memakai kasut apabila berjalan keluar dari rumah. Jangan sesekali berkaki ayam kerana larva cacing boleh mengorek tapak kaki untuk masuk ke dalam badan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram