Perasan bagus, pujian berlebihan boleh jadikan anak anda narsisistik


  • Sihat
  • Ahad, 14 Ogos 2022

Antara faktor personaliti narsisistik berlaku disebabkan ibu bapa terlalu memanjakan anak mereka. — Gambar hiasan/Agensi

JIKA anda fikir narsisistik hanyalah sejenis personaliti biasa, ia sebenarnya silap.

Sebenarnya, personaliti narsisistik adalah sejenis gangguan personaliti yang mana seseorang individu itu mempunyai rasa kepentingan terhadap dirinya sendiri.

Pada masa sama, mereka juga kurang berasa empati terhadap orang lain.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, personaliti narsisistik berlaku disebabkan oleh beberapa faktor-faktor.

"Antaranya ialah sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak mereka dengan memberi pujian yang berlebihan.

"Pada masa sama, jika membuat kesalahan ibu bapa ini cenderung memujuk anak mereka tanpa memberi nasihat sepatutnya.

"Ini sekali gus menjadikan kanak-kanak tersebut menjadi seorang yang narsisistik dan pantang ditegur bila dewasa.

"Selain itu, ibu bapa yang bersifat terlalu melindungi anak-anak atau mengabaikannya juga boleh menyebabkan seseorang itu menjadi individu narsisistik," katanya kepada Majoriti.

Fauziah

Fauziah berkata, seorang yang mempunyai personaliti narsisistik kurang bersifat empati dalam memahami perasaan orang lain.

Menjelaskan secara lanjut, Fauziah berkata, seorang yang mempunyai personaliti narsisistik selalu berasa dia bagus dan pandai dalam semua perkara.

"Mereka juga tidak boleh menerima pandangan orang lain dan tidak suka dikritik kerana selalu personaliti narsisistik hanya ingin dipuji.

"Kebanyakan individu narsisistik turut kurang bersifat empati dalam memahami perasaan orang lain dan mereka lebih suka menyindir.

"Mereka juga cenderung menggunakan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Keadaan ini sekali gus menyebabkan individu tersebut tidak disukai orang sekeliling.

"Boleh dikatakan, segala apa yang berlaku dalam hidup individu narsisistik adalah hanya mengenai dirinya," katanya.

Individu narsisistik akan menjadi murung kerana tidak disukai orang ramai — Agensi

Tambah pakar psikologi itu lagi, individu narsisistik juga cenderung untuk mengalami masalah kesihatan mental yang lain.

"Selalunya mereka ini akan menjadi murung kerana tidak disukai orang ramai sekali gus menyebabkan mereka tiada kawan.

"Gangguan personaliti seperti ini sering menyebabkan masalah dalam hubungan bersama pasangan dan juga ahli keluarga.

"Kebanyakan individu narsisistik tidak menganggap bahawa diri mereka sedang mempunyai masalah atau gangguan personaliti," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram