MENDIRIKAN rumah tangga pada November tahun lalu, pasti ramai yang tertanya sama ada sudah muncul berita gembira melibatkan pasangan penyanyi, Haqiem Rusli, 24, dan isterinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 20.
Malah, desas desus mengenai kehamilan Wan Anis Sofea juga sudah mula kedengaran sejak Mei lalu sebelum dinafikan oleh Haqiem sendiri.
Menurut Haqiem, buat masa sekarang, dia dan isteri menjalani kehidupan yang sangat bahagia serta tidak berniat untuk menyorokkan sebarang berita gembira.
"Setakat ini belum ada khabar lagi (kehamilan) dan jika ada memang saya akan terus beritahu secepat mungkin. Takkan sorok-sorok," katanya kepada Majoriti.
Haqiem Rusli bersama isterinya, Wan Anis Sofea.
Dalam pada itu, sekian lama menyepi dalam industri seni, Haqiem mengakui yang dia sebenarnya membuat keputusan untuk berehat seketika bagi menguruskan kehidupan sebagai suami isteri.
Malah, dia juga menolak beberapa persembahan selepas bergelar suami untuk menyelesaikan beberapa hal berkaitan perkahwinan.
"Isteri memang sokong saya untuk kembali dalam industri seni dia tidak pernah menghalang. Sebaliknya saya yang ambil keputusan untuk rehat dan kini akan mula kembali," katanya.
Sokong Raffa Affar nyanyi lagu Tiara
Sebelum ini kecoh berkenaan penyanyi Indonesia, Raffa Affar yang menyanyikan semula lagu kumpulan rock tempatan, Kris yang berjudul Tiara.
Antara yang dipersoalkan adalah mengenai lenggok lagu tersebut yang disifatkan terlalu mendayu-dayu sehingga didakwa merosakkan karya asalnya.
Wan Anis Sofea sentiasa menyokong penuh kerjaya Haqiem Rusli.
Namun, Haqiem selaku pencipta lagu yang terkenal merasakan perkara itu menjadi satu masalah sebaliknya perlu berbangga kerana penyanyi itu memilih lagu tempatan.
"Dia pilih lagu kita sebab dia hormat dengan muzik kita. Jadi kena banggalah. Cuma penyampaian lagu itu dibawa dengan caranya yang tersendiri.
"Bagi saya tiada masalah asalkan kebenaran untuk nyanyikan semula sudah dimohon. Lagipun apa sahaja karya yang boleh membantu seseorang itu untuk memasarkan dirinya dalam industri dengan baik adalah sesuatu yang bagus," katanya.
Menurut Haqiem, dia juga sudah mendengar lagu Tiara dendangan Raffa dan mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan cara penyampaian penyanyi itu.
Apatah lagi kata Haqiem, penyanyi itu membawa lagu tersebut dengan caranya tersendiri dan pendengar juga tidak boleh mengharap yang dia menyanyikan lagu tersebut dengan style penyanyi tempatan.
"Cara penyampaian lagu penyanyi dari Indonesia tidak sama dengan kita. Asalkan dia sudah minta kebenaran untuk menyanyikan semula lagu itu pun sudah mencukupi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram