Tempo laju, Nuha akui Casablanca mencabar vokal


  • Hiburan
  • Khamis, 14 Jul 2022

Nuha (kanan) dan Naufal bergandingan dalam klip video Casablanca. — YouTube

PELANTUN lagu Casablanca, yang kini trending di TikTok dan Spotify, Nuha Bahrain mengakui tidak mudah membawakan lagu melodi Arab itu yang didendangkan secara duet bersama Naufal Azrin.

Pernah tular gara-gara persembahannya yang dianggap sumbang dan ‘terkucil’ dalam sebuah program realiti, Nuha berjaya membuktikan kemantapan vokal sekali gus menambat hati pendengar dengan lagu berentak rancak itu.

Penyanyi bertubuh kecil itu berkata, lagu Casablanca dengan suntikan muzik Arab agak mencabar kerana temponya agak laju.

"Agak susah sebenarnya nak bawa lagu ni. Ketika recording pun, beberapa kali saya berdepan cabaran khususnya daripada aspek pernafasan.

"Tapi mujur cikgu vokal ajar untuk ambil nafas pada bahagian tertentu, jadi saya dapat tangani masalah ini dan masih dalam proses belajar teknik pernafasan yang betul," katanya kepada Majoriti.

Menurut Nuha, dia juga tidak menyangka lagu Casablanca dapat diterima ramai hingga meraih lebih tiga juta tontonan di YouTube setakat ini.

"Selepas single XSempurna, saya tak sangka akan dapat rezeki tontonan sebegitu banyak macam ini, memang lebih daripada apa yang diharapkan.

"Kecaman dan kritikan daripada peminat tu memang ada tapi saya ambil dari sudut positif untuk berikan yang lebih baik buat peminat.

"Kalau ada yang cakap, boleh ke nyanyi live seperti dalam klip video, saya akan cuba untuk hit the right notes dan deliver sehabis baik," katanya lagi.

Untuk rekod, Casablanca kini menduduki tangga pertama playlist popular menerusi Spotify, Carta Malaysia 50.

Lagu ciptaan ‘trio’ Abdulkarim Al Ali, Daqmie dan Wan Saleh itu turut digunakan sebagai backsound video di TikTok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram