Syukur saya pakai helmet — Ronnie Hussein 


  • Hiburan
  • Rabu, 29 Jun 2022

Ronnie cedera akibat jatuh basikal dan tidak tahu punca kemalangan berlaku. — Instagram

PENYANYI popular, Ronnie Hussein bersyukur tidak mengalami kecederaan patah atau yang lebih serius selepas terlibat dalam kemalangan jatuh basikal.

Insiden yang berlaku berhampiran Puteri Harbour, Johor Bahru sekitar 10.30 malam pada Selasa.

"Alhamdulillah tiada yang serius cuma dahi dengan pipi koyak sedikit. Saya menerima enam jahitan di dahi. Bersyukur ketika itu saya pakai helmet.

"Beruntung juga tiada yang patah. Saya juga memakai seluar dan baju berlengan panjang yang membantu bagi mengurangkan kecederaan agar tidak serius," kata di Instagram.

Ronnie turut menceritakan detik kejadian perkara tersebut berlaku.

ronnie

Keadaan Ronnie ketika cedera akibat jatuh basikal di Johor Bahru. — Instagram

"Saya bertiga bersama rakan-rakan, dan saya berada beberapa meter di belakang. Tanpa sedar, secara tiba-tiba pemegang basikal hilang kawalan.

"Masa itu saya hampir pitam namun masih mampu mengawal diri. Nasib baik rakan-rakan sedar apa yang berlaku pada saya.

"Sejujurnya saya tidak pasti apa punca kemalangan kerana basikal dalam keadaan baik. Bersyukur juga ketika itu tidak banyak kenderaan lalu lalang," tambahnya.

Bekas vakalis Hyper Act itu turut berterima kasih kepada peminat dan rakan artis yang mendoakan kesihatannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram