'Pemain sedap bermalam di hotel, penyokong balik mengenang nasib esok kena kerja'


  • Podium
  • Isnin, 27 Jun 2022

Pemain NSFC, Nasrullah Hanif (kiri) cuba melepasi pemain Sri Pahang, Nor Azam Azih dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Sabtu. — Bernama

SELEPAS tewas di tangan Sabah FC minggu lepas, Sri Pahang terpaksa menanggung perit kekalahan sekali lagi apabila ditumpaskan oleh pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) 0-3 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, pada Sabtu.

Kekalahan Sri Pahang itu jelas membawa kekecewaan kepada peminat sehingga selepas perlawanan berkenaan tular video penyokong Tok Gajah dilihat melepaskan kemarahan kepada pemain dan berisan kejurulatihan skuad terbabit.

Video yang memaparkan situasi tegang antara pemain dan penyokong Sri Pahang FC. — Facebook

Luahan kekewaan dari penyokong tidak habis di Stadium Tuanku Abdul Rahman kerana di platform media sosial, rata-rata dari mereka meluahkan rasa tidak tidak puas hati dengan prestasi semasa skuad itu yang kini menduduki tangga kedua tercorot dengan mengutip lapan mata.

Laman sosial kelab penyokong skuad Tok Gajah, Elephant Army turut meluahkan kekecewaan mengenai pengorbanan dari segi masa, wang ringgit dan tenaga seorang peminat demi pasukan kesayangan.

"Pemain bola sepak dibayar untuk berlatih dan bermain bola. Penyokong pula perlu membayar duit untuk hadirkan diri ke stadium. Pemain balik duduk rehat dalam bas kalau bermalam pun sedap tinggal di hotel. Penyokong balik pandu sendiri, sambil mengenang nasib esok kena kerja.

"Jangan sesekali bagi alasan penat. Jangan pernah mempersoalkan pengorbanan penyokong yang hadir ke stadium. Sikit ke ramai mereka tetap ada untuk Pahang walaupun kos sara hidup tinggi," tulisnya.

Malah, kelab penyokong itu juga membangkitkan sembilan tuntutan yang pernah disuarakan pada tahun lalu terhadap barisan ahli lembaga pengarah dan pengurusan kelab itu.

Antara tuntutan yang difokuskan oleh Elephant Army terhadap pihak pengurusan kelab berkenaan ialah mengenai pemilihan pemain yang perlu dinilai berdasarkan kelebihan dan kemampuan mereka dan bukannya atas dasar pilih kasih.

"Dah terlalu lama penyokong bersabar. Kalau nak kata glory hunter, awal-awal lagi penyokong dah memberontak. Penyokong dah bagi cukup masa untuk pasukan tapi tak nampak pun sebarang perubahan.

"Sembilan tuntutan kami dah gariskan sebagai panduan apa yang kami harapkan dari pengurusan Pahang. Itu usaha kami untuk membantu memberi solusi bukan setakat pandai mengkritik.

"Kecewa bila pemilik jenis tiada minat dan visi untuk bolasepak. Dapat pulak pasukan pengurusan serupa badut. Habis pasukan.

"Bebaskan bola sepak Pahang. Bola sepak Pahang ini bukan untuk hiburan," jelasnya.

Dengan kekalahan itu, Sri Pahang kekal di tangga ke-10 liga manakala NSFC naik satu anak tangga ke kedudukan kedua Liga Super dengan 19 mata, berkongsi mata dengan peneraju liga, Johor Darul Takzim yang beraksi kurang tiga perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram