'Pasukan Asia Tenggara bukan level Thailand,' Theerathon 'trigger' penyokong Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 19 Jun 2022

Theerathon mendatangkan pelbagai reaksi penyokong bola sepak Malaysia yang mana mereka mengatakan pemain Thailand itu sombong. — Agensi

PEMAIN skuad kebangsaan Thailand, Theerathon Bunmathan menganggap tidak berbaloi untuk pasukannya beraksi menentang pasukan dari rantau Asia Tenggara.

Pertahanan kiri itu baru sahaja membantu Thailand layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, sebagai salah satu daripada lima naib juara terbaik dalam fasa ketiga kelayakan bersama Malaysia.

Thailand berada di tangga kedua Kumpulan C, mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Maldives dan Sri Lanka, sebelum tewas 2-0 kepada tuan rumah kelayakan, Uzbekistan, pada Rabu (15 Jun).

Theerathon berkata demikian apabila ditanya mengenai saingan Piala AFF Mitsubishi Electric yang akan berlangsung pada hujung tahun ini selepas membantu negaranya layak ke temasya Piala Asia pada 2023.

Thailand 1

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Theerathon. — Agensi

Menurut Theerathon, skuad Thailand perlu mempunyai pemikiran yang lebih maju dengan tidak lagi memikirkan persaingan di peringkat Asean yang berjaya dikuasai negara mereka sejak sekian lama.

"Sebenarnya saya langsung tidak memberi tumpuan kepada Asean.

"Sasaran peribadi saya adalah untuk berdaya saing di peringkat Asia. Apabila dipanggil ke pasukan kebangsaan, anda perlu hadir. Jika ada yang bertanya sama ada bertanding di peringkat Asean berbaloi, saya pasti akan berkata tidak," katanya.

"Saya rasa untuk saingan AFF nanti, Thailand boleh menghantar skuad B-17 atau B-19 tahun untuk beraksi kerana ini akan membawa banyak manfaat di masa hadapan," kata pemain berusia 32 tahun itu dalam temu bual bersama Thai PBS Sport.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Theerathon mendatangkan pelbagai reaksi penyokong bola sepak Malaysia yang mana mereka mengatakan pemain Thailand itu sombong walhal negaranya sudah lama tidak menewaskan Malaysia.

"Kelayakan Piala Dunia tempoh hari pun tak lepas pusingan ketiga, nak pula kalah dengan Malaysia, ada hati nak kata pasukan dari Asia Tenggara tak setaraf dengan dia," ujar Muammar Ezzad.

"Lawan Malaysia asyik kalah sahaja lagi nak sembang Asia. Kumpulan mudah, menang dengan Maldives dengan Sri Lanka, bila jumpa Uzbekistan terus tersungkur," tulis Ahmad Faizal.

"Lawak, apa pencapaian Thailand dekat Asia? Lawan pasukan besar Asia pun selalu kalah sahaja. Bola sepak Thailand ini berlagak sahaja lebih berbanding kualitinya," kata Hiburan Semata.

Walaubagaimanapun, ada juga penyokong yang bersetuju dengan kenyataan pemain tersebut yang mahukan negara-negara di rantau Asia Tenggara mencabar kekuatan mereka bertemu pasukan yang lebih berkualiti.

"Untuk kebaikan bola sepak masing-masing, kalau saya pun tak mahu lawan yang sama, untuk cari pengalaman yang lebih bernilai kena cari lawan yang lebih tinggi ranking baru mutu bola sepak lebih meningkat," ujar HerMonSoo.

"Logik, nak maju kena belajar dengan lawan yang hebat. Kena cabar diri itu untuk bersaing dengan pasukan yang lebih baik," jelas Crusnik Cruz.

Thailand 2

Theerathon mencipta sejarah pemain Asia Tenggara pertama menjuarai Liga Jepun bersama Yokohama F. Marinos. Agensi

Thailand merupakan juara bertahan saingan Piala AFF selepas menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir edisi lalu dengan keputusan 6-2 secara agregat sekali gus memenangi kejuaraan keenam mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram